Pioneer Heat Sasar Kumpul RM21.68 Juta Melalui IPO
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) – Pioneer Heat Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM21.68 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Sept 2026.
Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal itu berkata daripada hasil itu, RM4 juta akan digunakan untuk menubuhkan ibu pejabat baharu di Sendayan, Negeri Sembilan dan RM2.07 juta bagi membangunkan pejabat baharunya di Sarawak.
Sebanyak RM4.01 juta lagi akan diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan, RM7.90 juta sebagai modal pusingan, manakala RM3.70 juta bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Semasa sidang media selepas pelancaran prospektus syarikat itu di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pioneer Heat, Wong Wei Ken berkata kumpulan itu sudah aktif di Sarawak dan melihat peluang besar untuk mengembangkan kehadirannya di negeri ini.
Kumpulan itu merancang untuk memperluaskan pejabat dan bengkelnya di negeri ini agar ia boleh menjalankan kerja-kerja fabrikasi selain perkhidmatan pemasangan tapak sedia ada.
“Kami dapat melihat aliran peluang itu ada, jadi kami berharap dapat mengembangkan bengkel kami bagi menampung kerja-kerja fabrikasi dan pemasangan tapak,” katanya.
Syarikat itu juga telah memperoleh lesen vendor berdaftar daripada Petroleum Sarawak Bhd, yang memberikannya peluang lanjut di tengah-tengah pertumbuhan sektor minyak dan gas Sarawak.
Selain itu, Wong berkata ibu pejabat dan bengkel baharu kumpulan itu yang bakal dibangunkan di Sendayan, Negeri Sembilan, akan meningkatkan keupayaannya untuk berkhidmat kepada pelanggan di wilayah tengah.
Berdasarkan prospektus syarikat, daripada 86.70 juta saham biasa baharu di bawah terbitan awam, 17.35 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia manakala 58.95 juta saham akan tersedia melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
"Selain itu, 10.41 juta saham tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja kami yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan Pioneer dan anak syarikatnya," katanya.
Pada masa yang sama, 17.35 juta saham sedia ada akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Selepas penyenaraian, modal saham Pioneer Heat yang diperbesarkan akan terdiri daripada 346.90 juta saham, dengan permodalan pasaran indikatif berjumlah RM86.73 juta berdasarkan harga IPO sebanyak 25 sen sesaham.
Permohonan untuk IPO dibuka hari ini dan akan ditutup menjelang 3 Sept 2026.
Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan sebagai agen penempatan bagi langkah IPO tersebut.
-- BERNAMA