BERITA TERKINI   Pemain tengah JDT Muhammad Afiq Fazail rangkul gelaran Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Liga-M 2025-2026 | Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos turun 10 sen - MOF | Harga RON95 dan RON97 tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen dan 20 sen bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos - MOF | 

Tidak Perlu Tubuh RCI TH Baharu, Siasatan Pihak Berkuasa Memadai - IKRAM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) memandangkan siasatan sedia ada oleh pihak berkuasa sudah memadai.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Badlishah Sham Baharin berkata penubuhan RCI yang kerap boleh menjejaskan nilai dan kredibiliti suruhanjaya itu.

Ad Banner

“Kalau RCI ditubuhkan untuk semua keadaan, (tindakan itu) akan menjatuhkan nilai RCI itu. Sedangkan RCI ini memang untuk kes yang betul-betul besar.

“Siasatan oleh pihak yang berwajib, contohnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memadai. Yang penting, kalau ada penyelewengan dan tidak mengikut lunas undang-undang, perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu pada program “The Nation” terbitan Bernama TV yang mengupas topik Restoring Trust and Strengthening Islamic Finance di Wisma Bernama hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Badlishah Sham mengulas laporan media berhubung gesaan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi TH.

Gesaan untuk RCI baharu itu dibuat bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana siasatan sedia ada hanya meliputi 2014 hingga 2020.

Semalam, ketika menggulung perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI TH, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memperincikan institusi itu mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.

Beliau berkata kerugian itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.

Antara pelaburan yang diketengahkan ialah dengan Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd membabitkan pembayaran 1.4 bilion riyal Saudi, bersamaan RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi penempatan jemaah haji.

Pihak berkenaan bagaimanapun tidak melunaskan bayaran sewa yang sepatutnya diterima TH sehingga menyebabkan institusi itu terpaksa membuat rosot nilai sepenuhnya berjumlah RM1 bilion pada 2024.

Dalam pada itu, Badlishah Sham menyokong cadangan mewujudkan pasukan petugas pelbagai agensi untuk menyiasat setiap pelaburan yang berisiko mengalami kerugian bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

“Sebelum apa-apa pelaburan dibuat, perlu ada satu due diligence yang betul-betul credible. Kita kena lihat akar umbi untuk memastikan pelaburan berasaskan etika dan prosedur yang betul,” katanya.

Beliau yang turut mengulas tindakan sebahagian blok pembangkang yang keluar dewan persidangan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas semak dan imbang serta menyuarakan hak hampir 10 juta pendeposit TH.

“Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat untuk berada dalam Parlimen tetapi (janganlah kerana) kalau tidak suka dengan seseorang atau kerajaan (kemudian) terus walkout, itu tidak bertanggungjawab. Di luar sibuk berbahas di TikTok tapi dalam Parlimen mereka walkout, (tindakan itu) memang tidak kena,” katanya.

Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai tahun ini.

-- BERNAMA