RYT Bank Rai Ulang Tahun Pertama Operasi, Capai 1.5 Juta Pelanggan
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Ryt Bank meraikan ulang tahun pertamanya selepas mencapai lebih 1.5 juta pelanggan, sekali gus menjadikannya sebagai bank digital terbesar di Malaysia hanya dalam tempoh setahun beroperasi.
Bank digital itu memaklumkan dalam tahun pertama operasinya, pelanggan telah menggunakan Ryt AI, penolong perbankan pintar yang dibina dengan kecerdasan buatan (AI) canggih, lebih daripada 10 juta kali untuk menguruskan urusan perbankan harian mereka.
Ketua pegawai eksekutif interim Ryt Bank Wilson Soon berkata belum pernah ada bank seperti ini dibangunkan di Malaysia dan pasukan yang menjadikannya satu realiti terdiri sepenuhnya daripada rakyat Malaysia.
“Kami telah meletakkan Malaysia di peta dunia dengan membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kita mencabar semula tanggapan tentang kemampuan sebuah bank.
“Namun, semua ini tidak mungkin tercapai tanpa 1.5 juta rakyat Malaysia yang memilih untuk menjadikan Ryt Bank sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut bank digital itu, Ryt AI yang dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar berdaulat yang dibangunkan di Malaysia oleh YTL AI Labs terus berkembang sepanjang tahun lepas untuk memahami maklumat dengan lebih baik dan melaksanakan lebih banyak tugasan.
Ryt AI boleh membaca resit, imej dan lampiran, serta mengendalikan beberapa permintaan dalam satu perbualan dan apabila berlaku masalah dengan pembayaran ia akan mencadangkan langkah penyelesaian kepada pelanggan dan bukannya sekadar memaparkan mesej ralat.
Kini, Ryt AI juga boleh melaksanakan lebih banyak tugasan merentasi aplikasi Ryt Bank berbanding setahun lepas.
Bank digital itu turut memperkenalkan Ryt Groups, penyelesaian terbaharu yang diperkenalkan bagi membolehkan pengguna mengimbas resit dan menyenaraikan pembelian secara automatik bersama-sama Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta caj perkhidmatan sekiranya perlu, mengira bahagian setiap orang dan menyelesaikan pembayaran dalam aplikasi.
Ryt Bank memaklumkan ia akan memperkenalkan produk baharu, pengalaman dan ganjaran setiap minggu, termasuk Kad Ryt Edisi Terhad yang diperkenalkan semula.
Sementara itu Soon berkata prestasi tahun pertama bank digital itu jauh melangkaui jangkaan dan sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia menunjukkan bahawa sememangnya terdapat permintaan terhadap pengalaman perbankan yang berbeza
“Kami berbangga dengan apa yang telah kami bina, tetapi kami lebih teruja dengan apa yang bakal hadir selepas ini. Perjalanan kami baru sahaja bermula,” katanya.
-- BERNAMA