BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 9-0 Kelantan TRW FC | Banjir Nepal: 11 rakyat Malaysia di Rasuwa tidak dapat dihubungi - Wisma Putra  | RCI: Bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditahan bagi bantu siasatan - KP SPRM | Institusi pendidikan perlu peka, pantau bacaan IPU dan status terkini laman sesawang Jabatan Alam Sekitar - KPM | keuntungan bersih Petronas Gas Bhd meningkat kepada RM453.33 juta pada suku kedua 2026 daripada RM450.19 juta pada suku kedua 2025 | 

Keuntungan Bersih Suku Kedua 2026 Bank Islam Meningkat 9.8 Peratus Kepada RM139.12 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2026  meningkat sebanyak 9.8 peratus kepada RM139.12 juta daripada RM126.68 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bank Islam menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan kenaikan itu disumbang oleh peningkatan pendapatan bersihnya dan jumlah overhed yang lebih rendah.

Perolehan juga meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.36 bilion daripada RM1.28 bilion sebelumnya.

Ad Banner

Pendapatan bersih pula meningkat sebanyak RM74.7 juta, atau 10.8 peratus, didorong oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi, pendapatan daripada yuran dan komisen, dan keuntungan bersih atas penilaian semula aset kewangan pada nilai saksama melalui untung atau rugi (FVTPL) dan pertukaran asing.

Bagaimanapun, pendapatan bersih perbankan runcit kumpulannya susut sebanyak 16.1 peratus berbanding suku kedua 2025, manakala pendapatan bersih perbankan institusi kumpulan naik 5.5 peratus kepada RM262.7 juta.

Bagi tempoh 6 bulan pertama 2026 Bank Islam mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM254.15 juta berbanding RM252.95 juta sebelumnya, disokong oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi dan pendapatan yuran dan komisen yang kukuh.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perolehan meningkat kepada RM2.61 bilion daripada RM2.50 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah pendapatan bersih meningkat sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.43 bilion, didorong terutamanya oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang tinggi dan pendapatan yuran dan komisen yang lebih kukuh, sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan lebih rendah daripada penjualan sekuriti.

Jumlah perbelanjaan overhed meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun kepada RM855.9 juta, mencerminkan pelaburan berterusan bank tersebut dalam bakat, keupayaan digital dan infrastruktur teknologi untuk meningkatkan kemudahan kepada pelanggan, mengukuhkan kecekapan operasi dan menyokong daya tahan perniagaan.

Pembiayaan kasar Bank Islam meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun kepada RM77.9 bilion, hasil permintaan dan pertumbuhan pelanggan yang berterusan merentasi segmen perbankan runcit dan perbankan institusi.

Deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat sebanyak RM4.2 bilion, atau 5.1 peratus tahun ke tahun, kepada RM86.9 bilion, menyediakan asas pembiayaan yang kukuh untuk menyokong pengembangan pembiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata prestasi berdaya tahan bank itu mencerminkan kekuatan asas dan komitmennya ketika mengharungi persekitaran operasi yang sentiasa berubah-ubah.

"Pembaharuan strategik kami akan tertumpu pada penyederhanaan, automasi dan pendigitalan. Kami sedang menyemak semula proses, model operasi dan struktur kos kami untuk menghapuskan kerumitan, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih pantas dan lancar.

"Pada masa sama, kami akan menyediakan peruntukan dalam pembangunan bakat dan teknologi, mempercepat penerimagunaan digital dan membangunkan kerangka dan infrastruktur perbankan teras yang mengukuhkan ketangkasan dan daya tahan kumpulan," katanya.

Raja Teh Maimunah berkata pembangunan rangkaian perniagaan baharu akan membolehkan Bank Islam memenuhi dengan lebih baik lagi keperluan pelanggan yang lebih luas, mempelbagaikan segmen perniagaan dan aliran pendapatannya serta meningkatkan capaian penyelesaian kewangan Islam yang relevan.

-- BERNAMA