SNPS Thailand Teroka Kerjasama Malaysia Manfaat Pensijilan Halal Tembus Pasaran Timur Tengah
Daripada Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
BANGKOK, 1 Sept (Bernama) -- Pengeluar bahan ramuan semula jadi berpangkalan di Thailand, Specialty Natural Products Public Company Ltd (SNPS), berminat bekerjasama dengan rakan kongsi Malaysia dalam pembangunan produk bagi memanfaatkan pensijilan halal Malaysia sebagai platform strategik untuk menembusi pasaran Timur Tengah.
Pensijilan halal Malaysia dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Bahagian Antarabangsa SNPS Laure Desforges berkata syarikat itu berminat bekerjasama dalam pembangunan formulasi produk serta berkongsi kepakaran teknikal dengan rakan kongsi di rantau ini.
“Ini sesuatu yang kami amat gemari untuk lakukan, iaitu berkongsi pengetahuan mengenai cara mendapatkan pensijilan halal kerana kami menyedari perkara itu merupakan cabaran besar kepada industri kami ketika ini.
“Sekiranya terdapat peluang untuk bekerjasama dalam aspek itu, kami amat berbesar hati untuk berbincang,” katanya pada sidang media sempena lawatan media ke SNPS di sini hari ini.
Ketika ini, lebih 98 peratus portfolio ramuan dan produk syarikat itu mempunyai pensijilan halal untuk pasaran Malaysia, Thailand dan Indonesia.
SNPS merupakan antara pengeluar ekstrak herba botani Thailand untuk industri farmaseutikal, makanan tambahan, nutraseutikal, makanan berfungsi dan kosmetik global, selain menyediakan formulasi separa siap kepada pengeluar kosmetik.
Desforges berkata syarikat itu merancang meningkatkan rangkaian petani rakan kongsi di Thailand daripada 250 ketika ini kepada 1,500 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Mengakui cabaran memperluas rangkaian pertanian itu, beliau berkata syarikat perlu menilai kualiti tanah secara menyeluruh, mengurus hubungan dengan petani serta memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur penanaman sebelum menerima petani baharu.
“Jadi, kami menubuhkan pasukan baharu beberapa tahun lalu kerana kami sudah mengetahui bahawa perkara itu akan menjadi visi dan fokus kami.
“Pasukan itu akan ditempatkan di pelbagai wilayah di Thailand supaya mereka dapat melatih petani dan isi rumah baharu,” katanya.
SNPS dan anak syarikatnya Specialty Innovation Co Ltd (SI) menjadi tuan rumah kepada wartawan dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Thailand di fasiliti pengeluaran mereka di sini.
Lawatan itu dianjurkan oleh Informa Markets bersempena dengan Vitafoods Asia 2026, yang berlangsung dari 2 hingga 4 Sept 2026 di Queen Sirikit National Convention Center, Bangkok.
-- BERNAMA