BERITA TERKINI   Jerebu: SDMC pantau situasi sebelum kemuka sebarang cadangan tindakan kepada PM mengenai status darurat Serian - Uggah | Tempat kerja sektor awam, swasta dan lain-lain di Serian mungkin terus beroperasi, mesti patuhi langkah berjaga-jaga kesihatan - Uggah | 
Ad Banner

Niaga Hadapan MSM Dijangka Berdepan Aktiviti Pengambilan Untung Minggu Depan

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 5 Sept  (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami aktiviti pengambilan untung minggu hadapan di tengah-tengah paras stok yang tinggi di Malaysia dan Indonesia, kata seorang peniaga.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata, sehubungan itu niaga hadapan MSM dijangka diniagakan antara RM4,500 dan RM4,600 setan pada minggu hadapan.

Ad Banner

“Aktiviti spekulatif telah melonjakkan harga kontrak niaga hadapan MSM, lalu mendorong pembeli fizikal seperti India untuk menangguhkan pembelian dan menunggu harga niaga hadapan kembali turun.

“Situasi itu turut menjejaskan pembelian produk minyak sawit yang lain kerana pembeli fizikal kekal berwaspada dengan paras harga semasa,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata peserta pasaran akan memantau rapat pengumuman data industri daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk Ogos 2026, yang dijadualkan pada 10 Sept.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata data itu, terutamanya mengenai paras stok dan eksport, bakal memberikan petunjuk selanjutnya berhubung arah tuju pasaran.

Teh berkata permintaan fizikal dijangka menyaksikan minat belian dari China, India, Pakistan, negara-negara Timur Tengah, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan permintaan yang lebih kecil dari Amerika Syarikat (AS).

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak September 2026 susut RM20 kepada RM4,608 setan, October 2026 merosot RM13 kepada RM4,775 setan, manakala November 2026 meningkat RM35 kepada RM4,929 setan.

Kontrak Disember 2026 melonjak RM66 kepada RM5,054 setan, Januari 2027 menokok RM88 kepada RM5,155 setan, dan Februari 2027 menambah RM106 kepada RM5,227 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 470,612 lot daripada 466,029 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 334,025 kontrak daripada 332,943 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan tidak berubah pada RM4,650 setan.

-- BERNAMA