PSC Tanjung Enim Globaltec Formation Diluluskan Sebagai Projek Strategik Nasional Indonesia
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Globaltec Formation Bhd (GFB) melalui anak syarikat tenaga bersih milik 70 peratusnya, NuEnergy Gas Ltd, mengumumkan kerajaan Indonesia telah meluluskan pembangunan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Tanjung Enim milik NuEnergy sebagai projek strategik nasional Indonesia.
Pengumuman itu dimaklumkan oleh Kementerian Perencanaan Pembangunan Nasional Indonesia selepas Presiden Indonesia Prabowo Subianto meluluskan projek berkenaan, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Kedudukan PSC Tanjung Enim sebagai projek strategik nasional mewakili pengiktirafan rasmi oleh kerajaan Indonesia terhadap kepentingan strategik projek itu kepada keutamaan pembangunan tenaga negara.
“Status PSC itu dijangka memudahkan penyelarasan yang lebih erat dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, pihak berkuasa kerajaan pusat dan serantau yang lain serta pihak berkepentingan ketika NuEnergy meneruskan rancangan pembangunan pertama (POD 1) PSC Tanjung Enim yang telah diluluskan,” tambahnya.
Kumpulan itu turut memaklumkan pengiktirafan projek strategik nasional berkenaan dijangka menyokong penyelarasan yang lebih berkesan dalam pelbagai bidang termasuk akses kepada tanah, perolehan permit dan infrastruktur sokongan, dengan potensi untuk mengurangkan risiko serta meningkatkan kejelasan jadual pelaksanaan projek.
“Pembangunan PSC Tanjung Enim akan menyumbang kepada keselamatan tenaga Indonesia dengan meningkatkan bekalan gas domestik dan mempelbagaikan campuran tenaga negara melalui pembangunan sumber metana arang batu.
“Projek ini juga dijangka menyokong aktiviti ekonomi di Sumatera Selatan melalui peluang pekerjaan rakyat tempatan, membangunkan kemahiran, melabur dalam infrastruktur dan peluang untuk industri tempatan,” tambah GFB.
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan memaklumkan NuEnergy mengumumkan cadangan penempatan persendirian untuk mengumpul AUD$3.05 juta (AUD$1=RM2.91) melalui penerbitan saham biasa baharu dalam NuEnergy pada harga terbitan AUD$0.038 sesaham.
Menurut syarikat itu, penempatan berkenaan diuruskan oleh Sequoia Corporate Finance Pty Ltd sebagai pengurus utama, dengan bantuan daripada SP Corporate Advisory Pty Ltd.
GFB menjelaskan hasil daripada penempatan itu akan menyokong pertumbuhan syarikat, bermula dengan PSC Tanjung Enim, iaitu salah satu daripada empat PSC milik NuEnergy, serta inisiatif jualan gas awal sebanyak satu juta kaki padu standard sehari (MMSCFD).
Syarikat itu memaklumkan ia akan diikuti oleh Fasa 2 pengeluaran gas sebanyak 24 MMSCFD daripada POD pertama yang diluluskan, serta menggerakkan baki tiga PSC miliknya ke arah fasa pembangunan.
“Dana itu juga akan digunakan untuk tujuan modal kerja NuEnergy dan dengan perkembangan dalam NuEnergy, GFB akan dapat meraih keuntungan dan aliran tunai masa depan daripada syarikat itu.
“Penempatan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ketara ke atas pendapatan dan aset bersih GFB bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2027,” tambahnya.
-- BERNAMA