Maxis Guna Teknologi Pengangkutan Optik Nokia Untuk Pacu AI, Kesalinghubungan Perusahaan
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Maxis baru-baru ini melaksanakan teknologi pengangkutan optik Nokia sekali gus memperkukuh infrastruktur rangkaian di seluruh negara dan rentas sempadan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kecerdasan buatan (AI) serta kesalinghubungan perusahaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Maxis memaklumkan cawangan perusahaannya, Maxis Business menghubungkan lebih 50 pusat data di seluruh negara sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kerjasama infrastruktur digital dan kesalinghubungan bagi perniagaan di Malaysia.
Menurutnya, pelaksanaan ini seterusnya meningkatkan keupayaan untuk memenuhi keperluan segmen tersebut, memperluas portfolio perusahaan serta memastikan penskala hiper dan pelanggan mendapat prestasi yang konsisten dan berkualiti tinggi.
“Melalui pelaksanaan ini, Maxis memanfaatkan teknologi optik 1830 PSS dan PSE-6 daripada Nokia untuk menyediakan kapasiti sehingga 1.2 terabit sesaat (Tbps) bagi setiap saluran.
“Dengan memperluas spektrum penghantaran menggunakan teknologi jalur C+L, kapasiti bawaan fiber sedia ada dapat digandakan manakala automasi WaveSuite Nokia memastikan tahap ketahanan rangkaian yang tinggi,” jelasnya.
Maxis menyatakan bagi pelanggan perusahaan, ini bermakna rangkaian yang pantas, diyakini dan selamat yang menyediakan sokongan kukuh untuk beban kerja kritikal.
Pelaksanaan ini juga membolehkan pemain over-the-top (OTT) dan penskala hiper menyediakan penstriman media 4K berkapasiti tinggi, pengkomputeran AI berketumpatan tinggi, kesalinghubungan pusat data serta sandaran data berskala besar tanpa lag.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaannya Prateek Pashine berkata kerjasama pihaknya dengan Nokia memperkukuh asas optik rangkaiannya.
Selain itu, menurut beliau, ia juga membolehkan Maxis memenuhi permintaan trafik yang semakin meningkat selain menyediakan pengalaman kesalinghubungan terbaik dalam kelasnya kepada pelanggan global dan tempatan.
Beliau memberitahu kerjasama berkenaan akan menyokong pengguna yang memerlukan rangkaian berdaya tahan, selamat, berkapasiti tinggi serta berlatensi rendah untuk mengurus beban kerja AI dan menghubungkan pusat data mereka di Malaysia dengan seluruh dunia.
“Kerjasama ini juga membolehkan kami menyokong dan memajukan agenda perubahan digital kerajaan. Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan Nokia dalam inisiatif lain pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu Ketua Asia Tenggara Nokia Ming Kin Ngiam menyatakan teknologi rangkaian optik generasi baharu Nokia membolehkan penyedia perkhidmatan seperti Maxis membina rangkaian pengangkutan yang boleh diskalakan bagi menyokong pertumbuhan pesat trafik AI, awan dan perusahaan.
“Bersama-sama kami membina asas rangkaian optik yang bersedia untuk masa hadapan bagi menghubungkan kecerdasan yang berkembang merentasi ekosistem AI, awan dan perusahaan selain menyokong kesalinghubungan yang kukuh serta perkhidmatan digital baharu,” katanya.
Maxis menambah dengan memodenkan rangkaian pengangkutan optiknya, ia secara aktif menyokong aspirasi digital Malaysia untuk menjadi hab digital serantau.
Inisiatif ini juga jelasnya memberi kapasiti yang tiada tandingan untuk memperkasakan perkhidmatan digital generasi akan datang.
-- BERNAMA