BERITA TERKINI   Nahas helikopter: Dua daripada mangsa adalah pencarum Perkeso, akan terima pencen penakat bulanan - Ramanan | Nahas FDS: Layang Layang Aerospace gantung operasi semua helikopter BO-105, pesawat guna enjin Rolls-Royce siri 250 serta-merta - CAAM | Nahas FDS: Helikopter miliki CoA sah hingga 4 Ogos 2027, sijil pendaftaran hingga 28 Julai 2029 - CAAM | Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) jalankan siasatan bebas, kenal pasti punca nahas helikopter FDS - CEO CAAM | Indeks Harga Rumah Malaysia pada separuh pertama 2026 dicatatkan pada 234.7 mata, purata harga RM506,317 seunit - Amir Hamzah | 

Malaysia Sasar Skor Pelaksanaan Berkesan ICAO Sebanyak 90 Peratus Menjelang 2028

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia menyasarkan skor Pelaksanaan Berkesan (EI) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang Disember 2028 di bawah Pelan Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026-2028 yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pelan tiga tahun itu bertujuan mengekalkan sifar kemalangan maut dalam penerbangan komersial, mengurangkan kemalangan serius serta insiden berkaitan keselamatan landasan selain memperkukuh pelaporan keselamatan.

Beliau berkata pelan berkenaan menyediakan rangka kerja kebangsaan yang memberi tumpuan bagi Malaysia untuk tempoh tiga tahun akan datang serta sejajar dengan Pelan Keselamatan Penerbangan Global ICAO dan Pelan Keselamatan Penerbangan Serantau Asia-Pasifik.

Ad Banner

"Paling penting, pelan ini menterjemahkan aspirasi kepada tindakan yang boleh diukur. Objektifnya merangkumi usaha mengekalkan sifar kemalangan maut dalam penerbangan komersial, mencapai skor Pelaksanaan Berkesan ICAO sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang Disember 2028.

"Selain itu mengurangkan kemalangan serius serta insiden keselamatan landasan dan memperkukuh pelaporan keselamatan," kata beliau.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan pada Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia (MASS) 2026 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Loke berkata keselamatan penerbangan kekal sebagai keutamaan negara kerana ia melindungi nyawa, menyokong keyakinan awam serta menjadi teras kepada sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan keterhubungan Malaysia.

"Keselamatan bukan sekadar satu piawaian yang kita capai sekali sahaja. Ia merupakan satu disiplin yang mesti diamalkan setiap hari, dalam setiap penerbangan dan di setiap bahagian sistem penerbangan.

"Seiring dengan kemajuan teknologi dan operasi yang menjadi semakin kompleks, disiplin itu mesti menjadi lebih kukuh," jelasnya.

Loke menegaskan komitmen kerajaan terhadap keselamatan penerbangan berteraskan tiga keutamaan iaitu mengekalkan badan kawal selia yang berkeupayaan dan berkesan, memastikan prestasi keselamatan dapat diukur dan telus serta memastikan peraturan sentiasa seiring dengan inovasi.

Beliau berkata pengawasan berasaskan risiko memerlukan profesional teknikal yang berkelayakan, sistem yang boleh dipercayai dan keupayaan institusi yang mampan.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pengangkutan akan terus menyokong Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam memperkukuh dan mengekalkan keupayaan berkenaan.

Mengenai pelaporan keselamatan, beliau menyatakan peningkatan dalam laporan tidak sepatutnya dilihat sebagai bukti bahawa sistem penerbangan kurang selamat memandangkan budaya pelaporan yang sihat memberi gambaran lebih jelas mengenai bahaya serta membolehkan tindakan awal diambil.

"Masyarakat mesti dapat melaporkan kebimbangan berkaitan keselamatan secara bertanggungjawab dan dengan penuh keyakinan bahawa maklumat tersebut akan digunakan untuk menambah baik sistem," katanya.

Menurut Loke teknologi baharu boleh meningkatkan kesedaran situasi, keupayaan membuat keputusan dan kecekapan operasi tetapi pada masa yang sama boleh mewujudkan kebergantungan baharu, kebimbangan berkaitan keselamatan siber serta risiko faktor manusia.

Beliau menambah tiada kerajaan, pihak berkuasa kawal selia atau pengendali yang mampu memastikan keselamatan penerbangan secara bersendirian kerana ia bergantung pada kerjasama merentasi sempadan, perkongsian maklumat keselamatan secara bertanggungjawab serta komitmen bersama untuk mengambil tindakan berdasarkan bukti.

Beliau turut menggesa para peserta MASS 2026 dan Persidangan Ketua-Ketua Pengarah Penerbangan Awam Rantau Asia dan Pasifik ke-61 (DGCA 61) supaya mencabar andaian sedia ada, berkongsi pengalaman praktikal dan mengenal pasti tindakan yang boleh memperkukuh keselamatan dalam organisasi masing-masing.

Pelan Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026-2028 dilancarkan bersempena dengan MASS 2026.

-- BERNAMA