BERITA TERKINI   Dua kanak-kanak maut selepas terjatuh dalam longkang di Taman Desa Karangan, Kulim - Polis | Bidaan nombor pendaftaran istimewa siri H sempena sambutan Hari Malaysia dibuka 16 hingga 20 Sept - KP JPJ | Malaysia sertai BRICS bukan untuk tentang blok lain, mahu sistem lebih adil - Anwar | Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda barat laut Pulau Morotai, Maluku Utara, tiada ancaman tsunami - Agensi Meteorologi Indonesia | Hari Malaysia: Pengunjung acara bunga api di Tebingan Kuching dinasihatkan pakai pelitup muka susulan fenomena jerebu - Fahmi | 

DSR Taiko, PKNP Meterai MoU Bagi Wujud Sistem Pengesahan, Pensijilan Musang King Pahang

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- DSR Taiko Bhd merancang untuk bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk mewujudkan piawaian pengesahan asal usul dan pendigitalan kebolehkesanan eksport bagi durian Musang King yang berasal dari Pahang.

Menurut syarikat pengurus dusun durian itu, ia telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PKNP bagi menjalinkan kerjasama menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) bagi membangunkan dan melaksanakan sistem pengesahan serta pensijilan bagi durian Musang King dari negeri tersebut.  

“Bidang kerjasama di bawah MoU ini termasuk pengesahan asal usul, pelabelan, kebolehkesanan, pensijilan dan pembangunan pasaran, selain pemasaran serta promosi ‘Pahang First’,” menurut kenyataan syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Ad Banner

DSR Taiko menambah bahawa inisiatif itu akan menjadi sebahagian daripada cadangan Pahang Durian City (PDC), yang bakal menjadi hab penyelidikan dan pembangunan strategik bagi durian Musang King Pahang.

Menurut DSR Taiko, perincian mengenai pegangan saham, tadbir urus, pelaburan, harta intelek, pengaturan komersial dan operasi SPV itu akan dipersetujui secara bersama oleh pihak terlibat pada peringkat seterusnya. 

“Semua pihak terlibat juga berhasrat untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan, badan berkanun, badan pensijilan, pemain industri dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan berhubung projek tersebut,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, DSR Taiko menjelaskan bahawa MoU itu akan kekal berkuat kuasa selama enam bulan dari tarikh MoU tersebut, melainkan ia ditamatkan lebih awal mengikut terma ditetapkan dan pihak terbabit.

Pada masa sama, pihak-pihak terlibat boleh memohon untuk melanjutkan MoU itu berdasarkan terma yang dipersetujui bersama dengan mengemukakan notis bertulis sebulan sebelum tempohnya tamat.

Syarikat itu juga menambah bahawa MoU tersebut dan kandungannya tidak mengikat pihak yang terlibat dari segi undang-undang, kecuali bagi peruntukan kerahsiaan, dan tiada pihak boleh mengemukakan sebarang tuntutan terhadap pihak yang satu lagi sekiranya terma serta syaratnya tidak dipenuhi.

Selain itu, MoU itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material kepada aset bersih sesaham, tahap kadar hutang dan pendapatan sesaham DSR Taiko bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026. 

Menurut DSR Taiko lagi, tiada pengarah, pemegang saham utama syarikat itu atau individu yang dikaitkan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan langsung dan tidak langsung dalam MoU tersebut. 

-- BERNAMA