BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Maldives untuk lawatan rasmi dua hari, disambut Presiden Mohamed Muizzu | Insiden Virgo Transport 8 : Indonesia akan hantar dron penyelam untuk pencarian mangsa - Ketua Basarnas | Dua kanak-kanak maut selepas terjatuh dalam longkang di Taman Desa Karangan, Kulim - Polis | Bidaan nombor pendaftaran istimewa siri H sempena sambutan Hari Malaysia dibuka 16 hingga 20 Sept - KP JPJ | Malaysia sertai BRICS bukan untuk tentang blok lain, mahu sistem lebih adil - Anwar | 

Malaysia Teroka Peluang Perniagaan UAE Dalam Logistik Halal, Pekerjaan

Daripada Ratcharathan A/L Rawe Shanggar

KERALAM (INDIA), 14 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan pemimpin perniagaan daripada Majlis Perniagaan Emiriah Arab Bersatu (UAE)-India, Cawangan UAE (UIBC-UC) bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang pelaburan, logistik, pekerjaan dan pelbagai sektor perniagaan lain.

Antara yang ditemui beliau ialah Naib Pengerusi Sharaf Group Mejar Jeneral Sharafuddin Sharaf dan Pengasas Bersama serta Naib Pengerusi Eksekutif EFS Facilities Services Group Tariq Chauhan di Calicut semasa lawatan kerja beliau ke sini hari ini.

Ad Banner

Menurut Perdana Menteri, perbincangan dengan Sharafuddin antaranya mengenai minat Sharaf Group untuk memanfaatkan Malaysia sebagai hab pengedaran serantau bagi daging halal ke pasaran luar negara, berasaskan keupayaan kumpulan itu dalam bidang kargo dan logistik.

Beliau berkata Chauhan pula menyatakan rancangan EFS Facilities Services Group berkenaan pengambilan pekerja selain peluang untuk rakyat Malaysia mendapatkan pekerjaan dalam sektor pengurusan fasiliti.

Sesi pertemuan itu memberi peluang untuk meneroka bidang baharu dalam pelaburan, logistik, pekerjaan dan kerjasama perniagaan dan pada masa sama memperkukuh hubungan Malaysia dengan syarikat terkemuka berpangkalan di UAE serta komuniti perniagaan UAE-India secara lebih luas.

Ad Banner
Ad Banner

Malaysia juga mengalu-alukan penglibatan yang lebih erat dengan syarikat daripada UAE dan India serta akan terus memudah cara kerjasama yang mampu mewujudkan peluang ekonomi yang nyata kepada rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan.

Perdana Menteri turut mengetengahkan potensi kerjasama dengan BEEAH Group, yang telah berkembang daripada perniagaan berasaskan alam sekitar kepada sebuah organisasi pelbagai sektor yang merangkumi alam sekitar, tenaga, teknologi, penjagaan kesihatan dan hartanah.

Kumpulan itu yang mengendalikan kemudahan kitar semula dan pemulihan bahan yang terkini di Sharjah, UAE berhasrat untuk membangunkan kemudahan penukaran sisa kepada tenaga yang mampan di Malaysia.

UIBC-UC yang ditubuhkan pada 2023 di bawah Persekutuan Dewan Perniagaan & Industri UAE berperanan sebagai platform untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan dan hubungan perniagaan antara UAE dan India.

Kalangan ahli UIBC-UC antara lain aktif dalam sektor logistik, infrastruktur, peruncitan, penjagaan kesihatan, teknologi, tenaga bersih dan pembuatan termaju.

– BERNAMA