BERITA TERKINI   PDRM sedia pertimbang bantu Kementerian Kesihatan lakukan penerbangan ihsan di Sarawak - KPN | Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 dilancar hari ini, tingkatkan KDNK Wilayah Utara kepada paras RM369 bilion; wujudkan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti - Akmal Nasrullah | NCER sasar merealisasikan pelaburan kumulatif RM470 bilion menjelang 2030, 70 peratus disumbang oleh sektor utama - Akmal Nasrullah | KPM saran ibu bapa bawa anak jalani saringan awal kesan masalah pembelajaran termasuk autisme, ADHD - Fadhlina | SK Bihai dan SK Sri Permai di Gua Musang dinaik taraf, beri murid akses pendidikan hingga Tingkatan Lima - Fadhlina | 

Malaysia Perlukan Sehingga US$1.1 Trilion Untuk Penyesuaian Terhadap Perubahan Iklim Menjelang 2050 - SC

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Malaysia memerlukan antara US$852 bilion hingga US$1.1 trilion (US$1=RM4.07) menjelang 2050 bagi penyesuaian terhadap perubahan iklim, mencerminkan skala pembiayaan yang diperlukan untuk memperkukuh daya tahan negara menghadapi kesan perubahan iklim, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Memetik laporan Country Climate and Development Report Bank Dunia mengenai Malaysia, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata angka itu menunjukkan bahawa penyesuaian terhadap perubahan iklim bukan lagi sekadar isu alam sekitar, sebaliknya merupakan keperluan ekonomi dan pembangunan negara.

“Ini menunjukkan terdapat kekurangan struktur dalam seni bina kewangan kita yang masih belum mengiktiraf sepenuhnya keperluan penyesuaian dan daya tahan. Kesannya juga tidak diagihkan secara sama rata,” katanya.

Ad Banner

Mohammad Faiz berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada SC-AlBaraka Forum Strategic Dialogue di Inner Temple Theatre, United Kingdom, pada Isnin.

Beliau lebih separuh negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dinilai sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim, selain mempunyai keupayaan terhad untuk menyesuaikan diri.

“Ini bukan semata-mata soal kekurangan modal, tetapi soal pulangan kerana banyak projek penyesuaian dan daya tahan sukar dibiayai secara komersial. Projek seumpama ini mempunyai tempoh matang yang panjang dan aliran tunai tersendiri yang terhad. Tembok laut tidak menjana pendapatan secara langsung. Sistem saliran yang berdaya tahan terhadap banjir pula mungkin tidak digunakan selama bertahun-tahun,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut berkata negara membangun memerlukan antara US$310 bilion hingga US$365 bilion setahun menjelang 2035 bagi memenuhi keperluan penyesuaian terhadap perubahan iklim, namun pembiayaan awam antarabangsa untuk tujuan itu hanya berjumlah US$26 bilion pada 2023, menunjukkan keperluan pembiayaan adalah 12 hingga 14 kali ganda lebih besar daripada aliran pembiayaan semasa.

Mohammad Faiz berkata usaha menggembleng modal swasta amat penting memandangkan skala cabaran itu jauh melebihi kemampuan sumber awam setiap negara untuk menanganinya secara bersendirian.

Beliau berkata modal swasta ketika ini hanya menyumbang kira-kira US$5 bilion setahun bagi penyesuaian terhadap perubahan iklim, berbanding anggaran potensi sebanyak US$50 bilion dengan sokongan dasar dan struktur pembiayaan campuran yang sesuai.

Mohammad Faiz berkata pendekatan pembiayaan campuran (blended finance) amat penting, manakala penyertaan sektor awam, pembiayaan berkemudahan, modal jangka panjang serta mekanisme pengurangan risiko boleh meningkatkan daya maju projek, menarik pelabur swasta dan membuka laluan kepada penggemblengan modal komersial dalam skala lebih besar.

-- BERNAMA