BERITA TERKINI   ACL2: Phnom Penh Crown 2-1 Kuching City | Proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak sah kerana tidak patuh kehendak mandatori Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri - AGC | Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan tiada kuasa unilateral tamat atau kosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar - AGC | Pengguna domestik guna elektrik sehingga 800 kWj sebulan diberi pengecualian Pelarasan AFA, Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan - PM Anwar | Kerajaan setuju perluas perlindungan bil elektrik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi September hingga 31 Dis 2026 - PM Anwar | 

Portfolio LNG Petronas Bantu Malaysia Manfaatkan Permintaan Gas Asia

BANGKOK, 17 Sept (Bernama) -- Petronas LNG Ltd (PLL) berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam permintaan gas asli cecair (LNG) Asia di masa akan datang.

Ini terutamanya dipacu oleh pengembangan portfolio bekalan serta kapasiti pengeluaran di Malaysia, terutamanya dengan pelancaran sebuah kilang baharu di Sabah tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif PLL Ezran Mahadzir.

Beliau berkata portfolio LNG bersepadu Petronas yang merangkumi operasi sedia ada yang sudah terbukti di Bintulu, Sarawak serta bekalan dari Kanada dan kemudahan akan datang di Sabah, turut memberi fleksibiliti serta kebolehpercayaan yang diperlukan oleh pembeli Asia.

Ad Banner

“Walaupun (dengan kapasiti) portfolio kami di Bintulu dan Kanada, kami juga akan memulakan operasi kemudahan baharu di Sabah dalam pertengahan tahun depan.

“Ini merupakan (kapasiti) tambahan sebanyak dua juta tan yang akan menjadi sebahagian daripada portfolio kami,” katanya pada sesi wawancara di acara Gastech 2026 di sini.

Ezran berkata portfolio Petronas itu akan membolehkan syarikat menyediakan perkhidmatan kepada pasaran berbeza di Asia dengan keperluan LNG mengikut tahap serta keperluan tenaga masing-masing.

Ad Banner

Beliau berkata pertumbuhan permintaan di pasaran matang seperti Jepun, Korea Selatan dan China berkemungkinan relatifnya tepu, namun LNG akan terus memainkan peranan penting di tengah-tengah pengembangan pusat data serta usaha mengurangkan penggunaan arang batu dalam langkah campuran tenaga negara berkenaan.

“Pasaran ini amat sensitif dari segi kebolehpercayaan. Mereka mahukan aspek itu dalam pada masa sama mahukan juga fleksibiliti,” katanya.

Bagi Asia Tenggara, Ezran menjangkakan permintaan LNG meningkat walaupun rantau itu berdepan cabaran hebat dari segi pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata pengalaman Petronas sebagai sebuah syarikat minyak dan gas bersepadu, termasuk dalam membina dan mengendalikan kemudahan pencairan LNG dan regasifikasi, juga membantu dari segi menyokong rakan niaga lain di sepanjang rantaian nilai LNG.

“Petronas turut menawarkan nilai tambah dalam menyokong rakan niaga di keseluruhan rantaian bersepadu,” katanya.

Mengulas aspek harga LNG, Ezran berkata pemacu asas bagi tempoh jangka panjang kekal dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran, walaupun pergerakan pasaran jangka pendek dapat didorong oleh perkembangan geopolitik dan elemen ketidaktentuan.

Beliau merujuk krisis membabitkan Iran sebagai contoh bagaimana ketidaktentuan boleh menentukan pergerakan harga LNG dalam jangka pendek.

Bagaimanapun, Ezran menegaskan Petronas mengambil pendirian dari segi prospek pandangan jauh apabila membuat sebarang keputusan pelaburan dan yakin portfolio, lokasi serta sumber bekalannya yang pelbagai akan membolehkannya menangani turun naik pasaran jangka pendek.

“Kami melihatnya dari segi jangka panjang...kami yakin dapat menangani cabaran,” katanya.

Beliau berkata portfolio sedia ada turut dipelbagaikan bagi mendapatkan pendedahan kepada LNG berbeza dan penanda aras penetapan harga yang membolehkan Petronas menawarkan lebih banyak fleksibiliti kepada pembeli dalam menguruskan pendedahan harga masing-masing.

“Bukan setakat fleksibel dari segi molekul LNG, malah kami juga fleksibel dari segi terma komersial,” katanya.

Ezran berkata perancangan senario Petronas terus menunjukkan gas dan tenaga kekal menjadi sebahagian daripada campuran tenaga global bagi jangka panjang.

"(Sehubungan itu), kami percaya dalam jangka panjang, asasnya cukup kukuh untuk terus melabur dalam kapasiti dan berada dalam kedudukan baik untuk memenuhi permintaan itu," katanya.

-- BERNAMA