BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Tiada Perbincangan “Bailout” Kerajaan Untuk AirAsia - tony Fernandes

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- AirAsia Group Bhd tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan kerajaan mengenai “bailout” atau bantuan penyelamatan kewangan dan yakin terhadap kedudukan mudah tunai serta kemampanan perniagaannya, kata Pengasas Bersama dan Penasihat AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes.

“Tiada sebarang perbincangan dengan kerajaan. Kami tidak memerlukan bantuan menyelamat, “bailout” atau seumpamanya.

“Mudah tunai kami melebihi RM1 bilion. Tiada keraguan mengenai kelangsungan (perniagaan),” katanya dalam taklimat media secara maya mengenai perkembangan perniagaan AirAsia hari ini.

Ad Banner

Fernandes turut menafikan laporan bahawa kerajaan telah menghubungi syarikat penerbangan lain mengenai kemungkinan untuk mengambil alih laluan domestik dan penumpang AirAsia.

“Sumber saya memberitahu bahawa kerajaan tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak dan mereka memaklumkan cadangan itu tidak munasabah untuk dibincangkan. (Maklumat) itu daripada peringkat tertinggi.

“Anda tidak boleh mengambil kapasiti AirAsia secara automatik. Anda perlu mempunyai struktur kos seperti kami untuk menawarkan tambang seperti kami. Anda tidak boleh sekadar memaklumkan bahawa syarikat penerbangan lain akan mengambil alih kapasiti AirAsia,” katanya.

Ad Banner

Pada Rabu, laporan Reuters memetik sumber sebagai berkata, kerajaan dikatakan bertanya kepada Malaysia Airlines dan Batik Air sama ada kedua-dua syarikat penerbangan itu mampu mengambil alih bahagian pasaran domestik AirAsia.

Menurut laporan itu, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada perancangan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan sementara pihak berkuasa memantau kedudukan kewangan syarikat penerbangan tambang rendah itu.

“Secara rasmi, saya katakan kepada anda bahawa tiada apa-apa daripada kerajaan Malaysia. Pada masa akan datang, jika kerajaan membantu kami, kami mengalu-alukannya,” katanya.

Fernandes berkata cabaran pada masa ini akibat kenaikan harga bahan api pesawat adalah tidak seburuk berbanding semasa pandemik COVID-19 berikutan AirAsia masih dapat meneruskan operasi manakala permintaan daripada penumpang kekal kukuh.

“COVID-19 jauh lebih buruk berbanding keadaan yang kami hadapi sekarang. Semasa COVID-19, kami tidak dapat beroperasi tetapi kini kami boleh menerbangkan pesawat, dan permintaan sangat kukuh,” katanya.

-- BERNAMA