Majlis Rantaian Bekalan ASEAN Kini Struktur Kerja Tetap ASEAN-BAC
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Majlis Rantaian Bekalan ASEAN memasuki fasa baharu apabila beralih menjadi struktur kerja tetap di bawah Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
Perkembangan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh penglibatan sektor swasta secara lebih tersusun dalam usaha memudah cara perdagangan, menggalakkan integrasi ekonomi serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan di seluruh rantau itu.
Peralihan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Ketiga Majlis Rantaian Bekalan ASEAN di Manila, Filipina, apabila Pengerusi pengasas Majlis Rantaian Bekalan ASEAN merangkap Pengerusi ASEAN Manufacturing Network (AMN), Tan Sri Soh Thian Lai, menyerahkan kepengerusan kepada Michael Tan dari ASEAN-BAC Filipina pada 18 Sept 2026.
Soh dalam satu kenyataan berkata mesyuarat itu turut membincangkan terma rujukan serta program kerja yang akan menjadi panduan bagi fasa seterusnya, selain menyediakan laluan yang lebih jelas untuk menyalurkan syor sektor swasta ke dalam proses ASEAN.
Majlis Rantaian Bekalan ASEAN ditubuhkan pada 23 Sept, 2025 menerusi AMN bagi mewujudkan platform sektor swasta yang tersusun untuk mengenal pasti cabaran merentas sektor berkaitan rantaian bekalan, menangani halangan praktikal terhadap perdagangan serantau serta merangka syor yang boleh dilaksanakan untuk ASEAN.
Menurut Soh, sejak penubuhan itu, tumpuan majlis berkembang kepada bidang khusus yang memerlukan tindakan, termasuk fasilitasi perdagangan, kecekapan kastam, perdagangan digital, kebolehkesanan, penyelarasan peraturan, proses di sempadan serta pergerakan tenaga kerja berkemahiran teknikal.
"Dengan menjadi sebahagian daripada struktur tetap ASEAN-BAC, majlis ini mempunyai kesinambungan yang diperlukan untuk meneruskan usaha berkenaan melangkaui tempoh kepengerusian, selain membolehkan penglibatan secara berkala wakil perniagaan ASEAN, majlis perniagaan bersama, persatuan industri serantau serta syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan serantau,” katanya.
Soh berkata majlis itu turut menyediakan saluran yang lebih tersusun bagi membolehkan syor disampaikan kepada badan-badan sektoral ASEAN yang berkaitan, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN serta Pemimpin ASEAN.
Dalam pada itu, katanya, ASEAN telah mempunyai pelbagai asas bagi memperkukuh integrasi ekonomi, justeru keutamaan kini adalah memastikan mekanisme berkenaan dapat berfungsi dengan lebih berkesan untuk komuniti perniagaan.
“Dengan menjadikan usaha ini sebagai struktur tetap di bawah ASEAN-BAC, ASEAN berpeluang mengekalkan momentum merentasi kepengerusian berturut-turut serta menterjemahkan pengalaman sektor swasta kepada tindakan serantau yang praktikal,” katanya.
-- BERNAMA