Kedai Tanpa Penjaga Beri Ruang Usahawan Mikro Kurangkan Kos Operasi
Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
JOHOR BAHRU, 23 Sept (Bernama) -- Penggunaan ruang niaga yang kecil, pembayaran tanpa tunai dan sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) membuka peluang kepada usahawan mikro meneroka konsep kedai tanpa penjaga sebagai pendekatan mengurangkan kos operasi.
Konsep itu diterapkan oleh sebuah kedai pakaian terpakai di Kampung Melayu Majidee di sini, yang beroperasi di ruang berukuran hanya 10x10 kaki tanpa pekerja tetap di premis.
Pengusahanya, Mohd Idham Zamzuri berkata konsep layan diri membolehkan kos pengurusan dikawal menerusi penggunaan ruang lebih kecil, selain pelanggan memilih barangan dan membuat pembayaran sendiri menggunakan kod QR.
Beliau berkata tiga kamera litar tertutup (CCTV) dipasang bagi memantau operasi premis, manakala setiap barangan dilengkapi tanda harga serta maklumat produk bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan tanpa bantuan pekerja.
"Saya mendapat inspirasi daripada konsep kedai tanpa penjaga di Jepun dan melihat pendekatan ini boleh dilaksanakan dalam skala kecil di sini.
"Modal untuk menyediakan kedai ini kira-kira RM8,000 termasuk kerja pengubahsuaian yang saya lakukan sendiri," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Idham berkata kira-kira 80 peratus barangan di premis itu dijual pada harga bawah RM100, selain pakej kombo dua helai RM50 atau tiga helai RM100 bagi menggalakkan pusingan stok, di samping mengawal risiko kerugian.
Beliau yang berulang-alik dari Pasir Gudang ke Majidee setiap hari turut melakukan pemeriksaan premis serta menambah stok baharu kira-kira dua kali seminggu.
Mengimbas penglibatannya dalam perniagaan, Mohd Idham berkata beliau bermula pada 2013 ketika berusia 19 tahun dengan modal RM300 hasil menjual barangan terpakai sebelum modal berkenaan berkembang secara berperingkat.
Beliau kemudiannya meneruskan perniagaan menerusi tapak jualan fizikal dan platform dalam talian sebelum membuka premis layan diri itu pada Mei lepas.
Sementara itu, pelanggan Ghazali Md Rawi, 38, berkata konsep berkenaan praktikal kerana pelanggan masih boleh mendapatkan maklumat produk dengan jelas serta melakukan pembayaran sendiri walaupun tanpa penjaga kedai.
"Bagi saya konsep seperti ini boleh dikembangkan kepada sektor lain kerana dapat menjimatkan kos operasi tanpa menjejaskan keselesaan pelanggan," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati nombor telefon turut disediakan di premis bagi membolehkan pelanggan menghubungi pengusaha sekiranya berdepan kesulitan ketika membuat pembelian.
-- BERNAMA