Belanjawan 2027: MITRANS Gesa Pengangkutan Awam Yang Boleh Diramal
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kadar kebolehramalan pengangkutan awam seharusnya menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2027, iaitu dengan memberikan lebih perhatian terhadap usaha mengukuhkan perkhidmatan sedia ada, berbanding memberi tumpuan kepada projek besar yang baharu.
Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Mohd Fathi Abu Yaziz berkata kekerapan perkhidmatan dan ketepatan masa adalah sangat penting, kerana ia memberikan kepastian kepada pengguna pengangkutan awam.
Oleh itu, beliau berkata peruntukan akan datang juga boleh membawa perubahan segera sekiranya ia disalurkan kepada kerja-kerja penyelenggaraan, perkhidmatan pengantara dan penambahan jumlah bas.
Mohd Fathi berkata malah peruntukan sebanyak RM1 bilion, yang tidak mencukupi untuk projek rel berat baharu, masih mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan ketara bagi keselesaan pengguna pengangkutan awam.
“Satu projek mega sahaja boleh menelan kos puluhan bilion ringgit.
“Namun, membelanjakan dana yang ada untuk penyelenggaraan rel, penambahan bas pengantara, menambah perkhidmatan transit responsif permintaan dan sistem isyarat yang lebih baik mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan harian,” katanya kepada Bernama.
Merapatkan Jurang Perjalanan Peringkat Awal dan Akhir
Mohd Fathi berkata perjalanan antara kediaman atau tempat kerja dengan stesen berhampiran pengguna pengangkutan awam masih merupakan salah satu kelemahan.
“Bagi memastikan laluan rel berkapasiti tinggi dapat beroperasi dengan baik, orang ramai mestilah terlebih dahulu dapat sampai ke stesen dengan selamat dan mudah.
“Jika, laluan pejalan kaki sedia ada tidak memuaskan, lintasan jalan yang tidak selamat, lif dan eskalator yang bermasalah atau tempoh menunggu yang panjang untuk perkhidmatan sambungan, sistem rel itu tidak akan digunakan dengan sepenuhnya,” tambahnya.
Oleh itu, beliau berkata Belanjawan 2027 boleh mempertimbangkan pemberian geran khusus bagi penyambungan perjalanan peringkat awal dan akhir kepada pihak berkuasa tempatan.
Ia bertujuan menaik taraf laluan pejalan kaki berbumbung dan menambah pencahayaan yang lebih baik, akses tanpa halangan dan menyediakan laluan pejalan kaki di sekitar stesen terlibat.
Pada masa sama, beliau berharap penggunaan perkhidmatan transit responsif permintaan yang lebih meluas, selain perkhidmatan bas mini dan van kongsi yang beroperasi berdasarkan tempahan atau permintaan penumpang, terutamanya di kawasan perkhidmatan bas pengantara konvensional adalah kurang praktikal.
Pembiayaan Berdasarkan Hasil dan Manfaat Segera
Mohd Fathi turut menambah bahawa usaha untuk mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian, termasuk langkah seperti rasionalisasi subsidi bahan api, mesti diselaraskan dengan penambahbaikan dalam pengangkutan awam.
“Orang ramai memerlukan alternatif yang praktikal.
“Tindakan menghalang penggunaan kereta tanpa menyediakan pengangkutan awam yang boleh dipercayai dan kerap terlebih dahulu boleh memberi tekanan tambahan kepada pengguna, terutamanya mereka yang tinggal di luar kawasan pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata pembiayaan pengangkutan awam pada masa hadapan juga harus dikaitkan dengan penambahbaikan yang boleh diukur.
Ini boleh merangkumi ketepatan masa, kekerapan perkhidmatan, ketersediaan kenderaan, keadaan stesen dan kepuasan penumpang.
Dalam pada itu, bagi penambahbaikan segera, Mohd Fathi berkata lorong bas khas yang dikuatkuasakan dengan sewajarnya boleh membantu mengurangkan tempoh perjalanan dan meningkatkan tahap kebolehpercayaan di jalan raya bandar yang sesak.
“Lorong bas memerlukan kos yang lebih rendah berbanding membina laluan rel baharu, tetapi ia masih membolehkan bas bergerak dengan lebih pantas dan lebih dipercayai,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Fathi berharap pengguna pengangkutan awam seharusnya boleh menyaksikan dan menikmati penambahbaikan tersebut menjelang akhir 2027.
Beliau berkata ia termasuk tempoh menunggu tren kira-kira tiga hingga lima minit pada waktu puncak, ketibaan perkhidmatan transit responsif permintaan dalam masa lima hingga 10 minit selepas tempahan dibuat, pembayaran yang lebih mudah merentasi semua mod pengangkutan, selain akses yang lebih selamat dan berbumbung ke stesen.
“Apa yang pengguna pengangkutan awam inginkan ialah kebolehramalan.
“Mereka ingin tahu bahawa mereka boleh sampai ke stesen dengan mudah, bas atau tren akan tiba seperti yang dijangkakan dan mereka boleh sampai ke destinasi tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu,” katanya.
-- BERNAMA