Brazil Lihat Malaysia Sebagai Pintu Masuk Strategik Bagi Teroka Pasaran Halal Asia

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Brazil melihat Malaysia sebagai pintu masuk strategik ke pasaran halal Asia yang lebih meluas berikutan faktor logistik, ketersambungan rantaian bekalan dan saiz pasarannya.

Pengarah Perhubungan Institusi di Dewan Perniagaan Arab-Brazil Fernanda Baltazar berkata kedudukan strategik dan infrastruktur logistik yang cekap di Malaysia menjadikannya satu platform penting bagi syarikat Brazil yang berhasrat mengembangkan kehadiran mereka di Asia. 

Ad Banner

“Malaysia berada pada kedudukan yang sangat strategik apabila kita membincangkan mengenai pertumbuhan pasaran (halal) secara ekonomi dan skala global yang begitu pesat.

“Jadi, rantaian bekalan merupakan platform yang amat penting bagi menembusi pasaran Asia.

“Oleh itu, kami menyasarkan (pasaran) Malaysia, dan kami memahami betapa pentingnya untuk berada di sini iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026,” katanya pada sesi temu bual pada program Bernama Mobile Studio bagi membincangkan topik ‘Menyertai Pameran di MIHAS 2026 dan Perdagangan Halal Global’.

Ad Banner

Baltazar berkata Brazil turut berhasrat untuk mempamerkan kepelbagaian produknya dan mempelbagaikan kehadirannya dalam pasaran halal di MIHAS 2026. 

Beliau berkata negara itu berhasrat untuk membuka peluang bagi pengilangan produk makanan dan minuman Brazil yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi. 

“Brazil sememangnya sudah menjadi pengeksport daging halal terbesar di dunia, tetapi kami berhasrat untuk menjadi lebih daripada sekadar pembekal protein. 

“Kami ingin menyediakan laluan sebenar bagi syarikat-syarikat Brazil untuk menembusi pasaran halal Asia menerusi Malaysia dan MIHAS.

“Matlamat kami di sini (di MIHAS) bukan sekadar untuk menjual, tetapi untuk mempelbagaikan pasaran bagi semua produk dari Brazil,” katanya. 

Dalam pada itu, Baltazar berkata penyertaan Brazil pada MIHAS 2026 merupakan penyertaannya yang keempat dan edisi kali ini bakal disertai enam syarikat dan organisasi dari negara itu.

Ia termasuk Milhão Ingredients iaitu pengeluar produk berasaskan jagung, MBRF Global Foods Company, (pemproses protein), Pão & Arte (sebuah kedai roti Brazil) serta tiga badan pensijilan halal, iaitu CDIAL Halal, FAMBRAS Halal dan Halal Approval of Brazil.

“MIHAS merupakan wadah yang telah membina kepercayaan dan jenama sejak bertahun-tahun lamanya, jadi ia amat penting bagi kami,” kata Baltazar. 

Menurut Baltazar lagi, Brazil merupakan pengeksport daging halal terbesar di dunia dan pembekal utama ayam yang disahkan halal pada peringkat global, dengan jumlah eksport melebihi dua juta tan setahun.

Eksport daging lembu halal negara itu melonjak sebanyak 65 peratus pada 2024 berbanding 2023, manakala eksport produk halal lain yang turut mencatatkan peningkatan termasuk gula, bijirin, kopi dan Yerba mate. 

Yerba mate ialah minuman tradisional berkafein dari Amerika Selatan yang dihasilkan dengan merendam daun dan batang kering tumbuhan dikenali sebagai Ilex paraguariensis.

“Eksport daging halal Brazil sahaja mencecah lebih US$3.6 bilion antara Januari dan September 2025, meningkat lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan eksport kami ke 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berjumlah sekitar US$6 bilion bagi produk protein halal," tambahnya.

Sementara itu, MIHAS 2026 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 September 2026. 

MIHAS 2026 kini sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama empat hari bermula 23 September, dan sebelum ini dilaporkan menyasarkan potensi perniagaan bernilai lebih RM5 bilion, di samping meluaskan akses bagi produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa. 

Pameran itu dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dan ia dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dari 45 buah negara.

-- BERNAMA