OCBC Jangka Defisit Fiskal Malaysia Pada 3.6 Peratus Daripada KDNK Pada 2026, 2027
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd (OCBC Bank) menjangkakan sedikit kelonggaran fiskal sebanyak 0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Malaysia pada 2026, dengan unjuran defisit fiskal negara itu berada pada paras 3.6 peratus KDNK berbanding sasaran belanjawan sebanyak 3.5 peratus.
Bank itu memaklumkan bahawa kos subsidi dan bantuan sosial yang lebih tinggi daripada jangkaan akan mengatasi manfaat daripada kutipan hasil lebih baik serta dividen Petronas yang lebih tinggi.
Menurut bank itu, hasil meningkat sebanyak 14 peratus tahun ke tahun dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, manakala perbelanjaan pula meningkat sebanyak 11.2 peratus, defisit fiskal berada pada 3.6 peratus daripada KDNK berdasarkan pengiraan jumlah terkumpul 12 bulan.
Sementara itu, ketidakpastian politik yang semakin meningkat menjelang Belanjawan 2027, ditambah pula dengan ketidaktentuan luaran berterusan dan harga minyak yang tinggi, boleh menjadikan usaha penyatuan fiskal satu cabaran.
"Walaupun kami menjangkakan kerajaan akan mengumumkan defisit fiskal lebih rendah, sama ada sasaran ini dapat dicapai masih perlu dilihat. Unjuran asas kami ialah defisit fiskal yang lebih stabil pada paras 3.6 peratus daripada KDNK pada 2027," menurut OCBC dalam nota penyelidikan Pasaran Global hari ini.
Bank itu menjangkakan kerajaan akan mengunjurkan defisit fiskal yang lebih rendah iaitu 3.4 peratus KDNK pada 2027, namun angka ini masih melebihi paras 3.2 peratus ditetapkan di bawah Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2026-2028.
Ia juga menjangkakan pertumbuhan perbelanjaan kerajaan akan menjadi sederhana pada kadar 3.5-4.0 peratus pada 2027 tetapi tidak menjangkakan sebarang langkah rasionalisasi subsidi ketara pada tahun depan.
"Jika harga minyak global kekal pada paras semasa iaitu US$100 setong, kos subsidi bahan api akan kekal tinggi pada paras 1.7-1.8 peratus KDNK," menurut kenyataan itu.
Bank tersebut menyatakan bahawa Belanjawan 2026 digubal berdasarkan purata harga minyak mentah Brent antara US$60 hingga US$65 setong, manakala Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) mengunjurkan harga US$70 setong.
Berdasarkan anggaran sensitiviti Kementerian Kewangan, perbezaan harga sebanyak US$40 setong berbanding andaian Belanjawan 2026 itu sahaja boleh mengakibatkan peningkatan perbelanjaan subsidi sebanyak RM16 bilion hingga RM20 bilion, menurut OCBC Bank.
OCBC memaklumkan bahawa tekanan perbelanjaan Malaysia akan kekal tinggi, dengan ruang yang terhad untuk mengurangkan kategori perbelanjaan utama seperti emolumen, pencen dan caj khidmat hutang.
Dari segi hasil, bank itu menjangkakan pertumbuhan akan menjadi sederhana kepada sekitar tujuh peratus pada 2027, disokong terutamanya oleh penambahbaikan dalam pentadbiran cukai.
"Perubahan dasar subsidi yang terhad serta tumpuan untuk mengawal kos sara hidup dan terus menyokong projek-projek jangka sederhana, menunjukkan bahawa perbelanjaan akan kekal tinggi, selain itu penambahbaikan pentadbiran cukai dilihat mungkin akan berlaku berbanding pembaharuan drastik dalam menyokong penjanaan hasil," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA