BERITA TERKINI   Seorang pelajar ditahan bantu siasatan kematian pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah semalam- Fadhlina | Gerakan penyatuan ummah perlu terus diusahakan agar perbezaan parti tak halang capai kesepakatan - TPM Ahmad Zahid | Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan, Sabah pada 5.35 pagi tadi - MetMalaysia | 

Pasaran Getah Dijangka Kekal Tidak Menentu Minggu Depan Susulan Ramalan Cuaca Buruk

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka kekal tidak menentu minggu depan berikutan keadaan cuaca buruk dan ketegangan geopolitik yang berterusan, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata harga dan permintaan getah asli (GA) dijangka bergerak mendatar dengan kecenderungan meningkat sedikit.

Ad Banner

“Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat hingga sangat lebat di beberapa kawasan di Thailand. Di Malaysia pula, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan.

“Turun naik harga minyak dan dolar AS juga mungkin mempengaruhi harga serta permintaan getah. Ketidaktentuan yang ketara ini mencerminkan ketidakpastian dan memerlukan kewaspadaan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas perkembangan sepanjang minggu ini, Low berkata bekalan getah kekal terkawal, dengan pengeluaran berkurangan pada tahap tertentu namun masih dapat diuruskan walaupun hujan lebat berlaku secara berselang-seli.

Ad Banner
Ad Banner

“Permintaan getah semakin meningkat dan keseimbangan antara bekalan dengan permintaan adalah cukup baik untuk memastikan bekalan kekal mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) memaklumkan pasaran getah mungkin susut sedikit minggu depan berikutan pengukuhan ringgit, selain pengeluaran dan permintaan getah yang lebih rendah dari China susulan cuti Festival Pertengahan Musim Luruh.

“Bagaimanapun, harga getah asli dan lateks dijangka kekal kukuh serta didagangkan dalam julat terhad,” menurutnya.

Persatuan itu turut memaklumkan sentimen pasaran dipengaruhi kemungkinan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, walaupun serangan terhadap kemudahan minyak masih berterusan.

“Sidang kemuncak antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping mungkin meningkatkan keyakinan pasaran menjelang perbincangan pelbagai hala yang akan datang,” menurutnya.

Bagi tempoh Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi getah SMR 20 meningkat 62.5 sen kepada 1,040 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 13.5 sen kepada 730.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA