BERITA TERKINI   Kampus UiTM Jalan Othman ditukar nama kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM2.5 juta menaik taraf Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman | Kerajaan terus beri perhatian terhadap agenda pembangunan Bumiputera selaras prinsip keadilan sosial - PM Anwar | Pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus IPS tidak menjejaskan agenda pemerkasaan Bumiputera – Akmal Nasrullah | Penghantaran ubat melalui pos secara percuma bermula 1 Okt ini kepada pesakit yang membuat permohonan - Fahmi | 

Belanjawan 2027: DOF Mohon Peruntukan Perkukuh Biosekuriti, Ekosistem Perikanan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SHAH ALAM, 26 Sept (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) memohon pertimbangan peruntukan RM66.08 juta menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan bulan depan bagi memperkukuh biosekuriti serta kelestarian ekosistem perikanan negara.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata peruntukan itu adalah bagi menjayakan sebahagian daripada 41 projek bernilai RM126.87 juta yang dimohon pihaknya bagi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ad Banner

Beliau berkata permohonan berkenaan selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang menumpukan pengukuhan pengeluaran makanan, daya tahan sektor serta peningkatan keupayaan penggiat industri.

“Permohonan peruntukan bagi 2027 itu tertumpu kepada pelaburan bersasar untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan penggiat industri, melindungi sumber serta memastikan kestabilan bekalan ikan negara.

“Bagi nelayan, peruntukan itu diharap dapat menyokong pemodenan vesel, enjin, peralatan bagi penangkapan ikan serta sistem navigasi dan keselamatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Ad Banner
Ad Banner

Adnan berkata projek tukun tiruan dan Kawasan Perlindungan Marin (KPM) turut diberi perhatian sebagai langkah memulihkan habitat serta sumber perikanan.

“Penempatan, penyelenggaraan dan pemantauan yang berkesan dapat menyediakan kawasan perlindungan atau pembiakan hidupan akuatik sekali gus membantu pemulihan stok ikan.

“Selain itu, penguatkuasaan perlu diperkukuh melalui penambahan dan penggantian aset laut, termasuk penggunaan sistem pemantauan vesel, dron serta teknologi penderiaan jauh bagi mengekang aktiviti pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata DOF turut berharap MyKomuniti Perikanan (MyKP) terus diperkasakan menerusi sokongan peralatan dan teknologi, latihan keusahawanan serta aktiviti pemprosesan, penjenamaan dan pemasaran.

Katanya bagi subsektor akuakultur pula, peruntukan diperlukan untuk memperluas penggunaan teknologi dan automasi, selain memperkukuh pengurusan kualiti air, kawalan penyakit serta pengeluaran benih berkualiti.

“Keupayaan Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok juga diharap dapat diperkukuh, khususnya dalam pengeluaran benih spesies ikan asli, penyelidikan gunaan dan pembangunan teknologi untuk dimanfaatkan penternak,” katanya.

Dalam menangani isu spesies ikan asing atau invasif, Adnan berkata DOF mencadangkan pengukuhan pemantauan dan kawalan populasi menerusi pendekatan bersesuaian, termasuk aktiviti perikanan rekreasi serta pelepasan spesies ikan asli di lokasi berdasarkan penilaian teknikal.

“Aspek biosekuriti, kesihatan haiwan akuatik dan keselamatan makanan turut diberi keutamaan melalui peningkatan keupayaan diagnostik, pemantauan penyakit, pengesanan awal serta kawalan pergerakan dan import serta eksport komoditi perikanan.

“Pengukuhan ini penting bagi melindungi pengeluaran akuakultur, sekali gus memastikan hasil perikanan selamat serta memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) terus diperkasakan bagi menyokong penyelidikan berkaitan stok ikan, akuakultur, biodiversiti, penyakit, spesies invasif, perubahan iklim, teknologi perikanan dan pemulihan ekosistem.

“Data dan bukti saintifik yang kukuh penting bagi memastikan pengurusan sumber dan pembangunan sektor dibuat berasaskan maklumat tepat,” katanya.

-- BERNAMA