BERITA TERKINI   Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN semalam untuk pemerhatian - Mokhzani | Mahkamah: Bekas Pengarah Besar FELDA Datuk Faizoull Ahmad mengaku tidak bersalah tuduhan memperdaya surat kuasa wakil bagi tukar hak milik 16 bidang tanah di Jalan Semarak | 

Bursa Malaysia Meningkat Pada Sesi Pembukaan Dagangan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka lebih tinggi pada Rabu apabila berlaku aktiviti belian pada harga rendah berikutan penurunan baru-baru ini, di sebalik petunjuk negatif dari Wall Street.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.34 mata atau 0.26 peratus kepada 1,648.30 daripada 1,643.96 ketika ditutup pada Selasa.

Ad Banner

Indeks utama dibuka 0.58 mata lebih tinggi pada 1,646.49.

Prestasi pasaran secara menyeluruh negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 214 berbanding 174, sebanyak 293 kaunter tidak berubah, 2,174 tidak diniagakan dan 95 lagi digantung dagangan.

Jumlah dagangan pada 265.65 juta saham bernilai RM151.82 juta.

Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran kini semakin berada dalam keadaan terlebih jual, sekali gus mewujudkan peluang untuk pengumpulan terpilih bagi saham-saham mewah yang mempunyai asas kukuh.

Bagaimanapun, sebarang pemulihan (kenaikan) berkemungkinan kekal terhad melainkan aktiviti penjualan oleh pelabur asing berkurangan dan saham-saham perbankan utama kembali mendapat sokongan, katanya.

“Sektor tenaga, infrastruktur tenaga boleh baharu dan kaunter defensif terpilih mungkin mencatatkan prestasi lebih baik, manakala saham teknologi kekal terdedah kepada kesan hasil global yang tinggi.

“Justeru, kami menjangkakan sesi dagangan yang berhati-hati, dengan aktiviti pembelian saham pada harga rendah pada sekitar paras 1,640, meletakkan indeks dalam julat 1,635-1,655,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM10.02, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.74, manakala CIMB merosot dua sen kepada RM7.76. Tenaga Nasional menambah 10 sen kepada RM12.82 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.87.

Bagi saham aktif, Zetrix AI menokok setengah sen kepada 17 sen, V.S Industry melonjak 1.5 sen kepada 25 sen, Visdynamics menambah 10 sen kepaa 52 sen, manakala Cuscapi kekal tidak berubah pada limas sen, manakala Gamuda naik 13 sen kepada RM5.11.

Kaunter paling untung menyaksikan Allianz Malaysia dan MISC meningkat 14 sen masing-masing kepada RM21 and RM7.74, Hong Leong Industries menokok 10 sen kepada RM16.60, MI Technovation dan UMS Integration menambah sembilan sen masing-masing kepada RM5.48 dan RM8.70.

Eurospan mendahului kaunter paling rugi, susut 29 sen kepada RM2.95, Petronas Dagangan merosot 28 sen kepada RM19.04, Aeon Credit turun 14 sen kepada RM5.05, manakala Dutch Lady dan Hong Leong Bank menguncup 12 sen masing-masing kepada RM29.88 dan RM23.16.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 21.36 mata kepada 17,588.72, Indeks FBM Emas naik 19.22 mata kepada 12,284.69, Indeks FBM Top 100 meningkat 19.81 mata kepada 12,071.35, Indeks FBM Emas Syariah menokok 25.02 mata kepada 12,152.63, dan Indeks FBM ACE merosot 4.12 mata kepada 5,524.46.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.36 mata kepada 180.50, Indeks Tenaga merosot 4.42 mata kepada 864.28, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 10.43 mata kepada 19,271.29, manakala Indeks Perladangan menambah 1.86 mata kepada 9,218.20.

-- BERNAMA