Belanjawan 2027: NASH Gesa Pengukuhan Tanaman Semula Kelapa Sawit, Sokongan Pembiayaan
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH) menggesa kerajaan supaya memperkukuh program tanaman semula, meningkatkan produktiviti pekebun kecil serta memperluas akses pembiayaan bagi sektor kelapa sawit dan getah menerusi Belanjawan 2027.
Presidennya Adzmi Hassan berkata NASH mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan kadar bantuan tanaman semula kelapa sawit kepada RM18,200 sehektar iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus dengan mekanisme pembayaran yang dipermudah bagi mengurangkan kekangan aliran tunai pada peringkat awal.
“Kos tanaman semula kini boleh mencecah sekitar RM17,000 hingga RM17,200 sehektar manakala bantuan Skim Insentif Pembiayaan Tanaman Semula Pekebun Kecil Sawit sedia ada adalah sebanyak RM14,000 sehektar (Semenanjung).
“Pada masa yang sama, kadar tanaman semula kelapa sawit yang dilaporkan sekitar dua peratus setahun masih berada di bawah sasaran empat peratus.
"Sehubungan itu, kita perlu melihat (peningkatan) tanaman semula ini sebagai pelaburan untuk kapasiti pengeluaran masa depan negara, bukan sekadar bantuan kepada pekebun kecil secara individu,” katanya kepada Bernama.
Adzmi memberitahu persatuan berkenaan mencadangkan penubuhan Tabung Pembangunan Pekebun Kecil Nasional (TPPKN) sebagai dana pembangunan jangka panjang dan bukan sekadar menyediakan bantuan berasaskan sekali sahaja.
Beliau menyatakan cadangan itu merangkumi modal pusingan awal, pendekatan geran padanan satu sama satu, mekanisme tabungan untuk pekebun kecil semasa tempoh harga komoditi tinggi serta pembiayaan bagi peningkatan produktiviti, teknologi, infrastruktur dan tanaman bernilai tinggi.
“Komponen penting TPPKN ialah tanah simpanan pekebun kecil apabila tanah (yang kurang dimanfaatkan) boleh dikumpulkan secara sukarela dan diuruskan secara profesional tanpa menjejaskan hak milik asal. Ini boleh dilaksanakan bagi kelapa sawit, getah dan tanaman komoditi yang lain.
“Tanah simpanan ini juga boleh berfungsi sebagai laluan untuk menarik generasi muda ke dalam bidang pertanian secara lebih teratur. Pemilik tanah, golongan belia, graduan, pelabur dan pengusaha pertanian dapat dihubungkan dalam satu ekosistem bersepadu,” katanya.
Memperkasa sektor getah
Bagi sektor getah, NASH mencadangkan mekanisme “harga getah bermaruah” yang mengambil kira kos pengeluaran sebenar yang ditanggung oleh pekebun kecil, menurut Adzmi.
“Kami mencadangkan harga lantai sekitar RM4.50 sekilogram, berdasarkan anggaran kos pengeluaran getah asli (NR) sebanyak RM3.65 sekilogram,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekebun kecil menyumbang sebanyak 87.6 peratus daripada pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2026.
Pada 29 September, Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) diniagakan pada 1,010.5 sen sekilogram manakala getah lateks pukal diniagakan pada 737.5 sen sekilogram.
Adzmi turut menegaskan bahawa kerajaan patut menilai semula dasar perdagangan dan rantaian nilai getah bagi memastikan pekebun kecil mendapat agihan nilai yang lebih saksama daripada komoditi ini.
“Isu akses kepada input yang meningkatkan produktiviti seperti etefon juga perlu dinilai secara praktikal supaya pengawalseliaan tidak menghalang usaha untuk meningkatkan produktiviti pekebun kecil,” jelas Adzmi.
Inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan Akta Baja Negara
Adzmi menjelaskan NASH percaya bantuan kerajaan sepatutnya dijadikan lebih terangkum terutamanya program yang mengenakan syarat minimum keluasan tanah seperti BUDI Agri-Komoditi.
“Kami mencadangkan supaya syarat minimum 0.5 hektar dinilai semula atau dihapuskan bagi memastikan pekebun kecil yang mempunyai pegangan tanah lebih kecil tidak terpinggir daripada menerima bantuan semata-mata disebabkan oleh saiz kebun mereka,” katanya.
NASH turut menggesa supaya pelaksanaan Akta Baja Negara disegerakan, bagi memastikan kandungan, kualiti, pelabelan, keselamatan serta keberkesanan baja dikawal selia secara lebih jelas.
“Akta tersebut telah melalui proses yang panjang dan pada pandangan kami, sudah tiba masanya untuk ia dilaksanakan. Kualiti input pertanian mestilah terjamin dan baja merupakan satu daripada kos pengeluaran terbesar bagi pekebun kecil serta amat kritikal kepada hasil tanaman,” jelasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.
-- BERNAMA