E-Jamin Beroperasi Lima Tahun Tanpa Kontrak, RM130.8 Juta Wang Jaminan Dilabur - PAC
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Sistem e-Jamin, sebuah perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah di bawah Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), telah beroperasi selama lima tahun sejak 2020 tanpa kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata sistem itu beroperasi tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) mahupun perjanjian kontrak rasmi dengan kerajaan.
“Sistem e-Jamin bermula susulan kajian Dapat Vista pada 2017 bagi memudahkan proses bayaran jaminan di mahkamah dan dilaksanakan secara bukti konsep (POC) yang dipersetujui Ketua Hakim Negara, namun pelaksanaannya tidak mengikut tatacara perolehan kewangan kerajaan yang berkuat kuasa.
“Operasi e-Jamin di 192 mahkamah seluruh negara beroperasi selama lima tahun sejak 10 Jan 2020 tanpa sebarang ikatan kontrak rasmi,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata dapatan itu diperoleh daripada empat prosiding berhubung pengurusan sistem e-Jamin yang diadakan pada 4 Nov hingga 2 Dis 2025.
Mas Ermieyati berkata prosiding itu melibatkan saksi daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Peguam Negara (AGC), PKPMP, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan syarikat pengendali sistem e-Jamin iaitu Dapat Vista Sdn Bhd.
Beliau berkata daripada baki deposit wang jaminan RM193.71 juta sehingga 31 Dis 2024 dalam akaun, Dapat Vista Sdn Bhd didapati melaburkan RM130.8 juta wang berkenaan di bawah nama syarikat serta mengaut faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.
Mas Ermieyati berkata wang jaminan yang dibayar melalui e-Jamin turut dimasukkan ke dalam akaun komersial syarikat itu dan kegagalan memperakaunkannya ke dalam Akaun Amanah Disatukan melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.
Katanya PAC juga mendapati pengurusan dana wang jaminan tanpa struktur pemegang amanah, bon pelaksanaan atau insurans, meletakkan penjamin sebagai pemiutang biasa yang terdedah kepada risiko kewangan sekiranya syarikat muflis.
Selain itu, beliau berkata wujud jurang perbezaan baki sebanyak RM557,258 yang belum disahkan antara rekod sistem e-Jamin dengan penyata bank syarikat.
Mas Ermieyati berkata arahan pemberhentian e-Jamin selama tiga hari sebelum ini mencetuskan bantahan meluas berikutan kebimbangan kelewatan pelepasan Orang Kena Tuduh (OKT), sebelum MOF menetapkan sistem sedia ada terus digunakan secara percuma menerusi perjanjian rasmi berserta struktur bank pemegang amanah.
“PAC turut merumuskan pengoperasian tanpa kontrak selama lima tahun menerusi pengecualian khas berulang kali sebagai satu tempoh ketidakpatuhan kewangan yang terlalu lama, sedangkan kerajaan mempunyai saluran alternatif sendiri bagi pengurusan jaminan seperti sistem eCourt Finance (eCF), pindahan dana secara elektronik (EFT) dan sistem iPayment,” katanya.
Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata PAC mengesyorkan PKPMP dan MOF menyegerakan perundingan bagi memuktamadkan perjanjian rasmi bersama Dapat Vista demi melindungi dana jaminan, selain kerajaan memuktamadkan definisi “wang awam” bagi mengelakkan kekeliruan antara agensi.
Beliau berkata PAC turut mengesyorkan pengurusan dan perakaunan wang jaminan mematuhi Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 4 dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.
“PKPMP juga disaran membangunkan modul jaminan dalaman sendiri menerusi eCF atau e-Kehakiman bagi mengelakkan kebergantungan kepada vendor dan menjamin pemilikan data kerajaan secara 100 peratus, selain menyegerakan rekonsiliasi baki akaun deposit jaminan jenayah serta melaksanakan pemantauan secara berkala.
“PAC turut mahu MOF, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Digital Negara memperketat kawalan perolehan teknologi maklumat dan komunikasi supaya tiada vendor beroperasi tanpa kontrak sah sejak hari pertama pelaksanaan, manakala MOF perlu memperketat pemberian pengecualian khas kewangan demi memelihara prinsip tatakelola yang baik,” katanya.
Penyata PAC berhubung perkara tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini selepas isu berkenaan mendapat perhatian khusus jawatankuasa itu semasa taklimat Laporan Ketua Audit Negara Bil 3/2025 pada 8 Okt 2025.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/202, pada 31 Dis lepas, baki Akaun Deposit Wang Jaminan Jenayah di bawah sistem e-Jamin berjumlah RM182.94 juta, menurun sebanyak RM10.77 juta berbanding 2024 yang berjumlah RM193.71 juta.
“Terimaan deposit wang jaminan jenayah melalui sistem e-Jamin tidak diakaunkan sebagai deposit dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Ini kerana deposit tersebut berada dalam kawalan entiti luar yang menguruskannya dan tidak diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan,” menurut laporan itu.
Laporan itu memaklumkan memandangkan instrumen perundangan berkaitan pengurusan dan kutipan wang berkenaan masih belum dimuktamadkan, MOF memberikan pengecualian khas kepada pematuhan prosedur kewangan bagi pengurusan terimaan wang melalui sistem e-Jamin sehingga 31 Ogos 2026.
Menurutnya maklum balas daripada JANM pada 27 Ogos lepas memaklumkan PKPMP telah menyerahkan dokumen Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dan dokumen perjanjian kepada pihak yang berkenaan tetapi belum dapat dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Justeru, PKPMP melalui surat bertarikh 20 Ogos 2026 memohon pelanjutan pengecualian khas bagi pematuhan prosedur kewangan pengurusan terimaan wang jaminan melalui sistem e-Jamin daripada MOF bagi membolehkan MJM dibentangkan dan mendapat kelulusan sewajarnya daripada Jemaah Menteri,” menurut laporan itu.
-- BERNAMA