Belanjawan MADANI 2027 Penuhi Keperluan Segenap Lapisan Masyarakat, Capai Kehidupan Saksama
Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Meskipun dalam keadaan landskap global yang mencabar, Belanjawan 2027 jelas menyediakan bahagian yang adil dan saksama untuk segenap lapisan masyarakat, kerana kerajaan amat memahami cabaran yang dihadapi rakyat dalam mengharungi kehidupan seharian mereka.
Belanjawan ini pastinya bukan sekadar rancangan untuk tempoh setahun, sebaliknya merupakan usaha berterusan kerajaan MADANI sepanjang lima tahun lepas, dengan langkah-langkah pembaharuan dimulakan pada 2023 bagi memberikan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih baik di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.
Selaras dengan tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” semasa membentangkan Belanjawan MADANI kelima itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ukuran nilai sesuatu belanjawan bukanlah terletak pada ketebalan dokumen, besarnya peruntukan, mahupun jumlah pengumuman yang dibuat.
Sebaliknya, apa yang lebih penting adalah langkah-langkah yang dilaksanakan perlu membawa manfaat asas supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik di samping memperkukuh asas ke arah kualiti hidup yang lebih saksama bagi generasi akan datang, kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pertahanan terus menjadi penerima manfaat terbesar daripada peruntukan RM459.8 bilion bagi Belanjawan 2027.
Selain itu, tambahan RM50.2 bilion daripada pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta serta syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc), menjadikan jumlah keseluruhan Belanjawan MADANI kelima ini bernilai RM510 bilion.
Memandangkan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang tercetus pada Februari tahun ini, kesannya terhadap harga adalah amat besar, dengan tempiasnya turut dirasai penduduk dunia dalam kehidupan seharian mereka, bukan sekadar dalam sektor industri.
Memahami sepenuhnya kesan yang dihadapi oleh rakyat, kerajaan bertindak pantas untuk meringankan beban mereka dengan menyalurkan semula hasil pertumbuhan ekonomi dalam bentuk manfaat nyata secara langsung kepada masyarakat
Belanjawan kali ini mencakupi lebih banyak segmen masyarakat seperti golongan M40 selain B40, belia, warga emas, golongan orang kurang upaya dan pelajar.
Bagi meningkatkan daya saing negara, Anwar menegaskan bahawa usaha merapatkan jurang antara produktiviti dan gaji pekerja terus menjadi keutamaan kerajaan.
Perkara ini turut disentuh dalam Belanjawan 2027 apabila gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000, yang akan berkuat kuasa mulai Jun 2027 dan memberi manfaat kepada empat juta pekerja.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta, yang masih bergelut dengan kesan harga tinggi akibat krisis Asia Barat.
Ini memberikan kelegaan yang besar kepada segmen-segmen yang terjejas.
Selain itu, pekerja gig yang merangkumi pemandu e-hailing dan p-hailing dengan anggaran seramai 600,000 orang turut mendapat manfaat daripada pendekatan lebih menyeluruh kerajaan MADANI dan mungkin menjadi kumpulan seterusnya yang menikmati kadar pendapatan minimum.
Keprihatinan kerajaan itu terserlah apabila ia menjalin kerjasama dengan penyedia platform e-hailing, Grab, untuk membiayai bersama pakej bernilai RM160 juta yang bertujuan meningkatkan pendapatan bersih serta menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing bermula tahun depan.
Had pelepasan cukai individu, yang tidak disemak semula sejak 2010, telah dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 yang mana langkah ini memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) bagi membolehkan mereka mempunyai lebihan wang tunai di tangan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Bagi golongan berpendapatan tinggi dengan pendapatan melebihi RM1 juta, kadar tersebut akan diselaraskan kepada 30 peratus daripada kadar semasa 28 peratus.
Belanjawan kali ini juga tidak meminggirkan syarikat.
Antara lainnya adalah syarikat baharu di bawah insentif Hab Perkhidmatan Global (GSH) akan menikmati kadar cukai khas sebanyak lima peratus ke atas pendapatan daripada aktiviti GSH bermula 1 Januari tahun hadapan, manakala pengecualian cukai pendapatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030 bagi pelabur individu melalui platform ECF dan pelabur budiman yang membiayai syarikat pemula teknologi peringkat awal.
Sementara itu bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan memelihara alam sekitar, kerajaan melanjutkan insentif cukai hijau sehingga 31 Dis 2030, dengan menawarkan elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus untuk projek hijau dan stesen pengecasan EV.
Di bawah langkah itu, syarikat yang melaksanakan projek teknologi hijau dan lestari serta stesen pengecasan EV layak menikmati Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus.
Syarikat yang membeli aset teknologi hijau untuk kegunaan sendiri turut layak mendapat elaun yang sama sehingga 100 peratus.
Keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga emas turut dizahirkan menerusi cadangan menggubal Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani isu pengabaian serta memperkukuh ekosistem penjagaan yang menyeluruh, selaras dengan persediaan negara menuju status negara tua menjelang 2048.
Bagi tujuan itu, Bantuan Warga Emas akan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion pada 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 penerima.
Tidak ketinggalan, seramai 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500. Lebih sejuta pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, pula akan menerima bantuan sebanyak RM750.
Ini antara pelbagai langkah penting yang dicakupi dalam Belanjawan 2027, yang berteraskan lapan tonggak utama, iaitu menangani kos sara hidup; memberi keutamaan kepada semua negeri; menjaga kebajikan seluruh rakyat Malaysia; meningkatkan mutu perkhidmatan awam; menjamin keselamatan bekalan dan kesiapsiagaan negara; memperluas potensi ekonomi negara; memelihara identiti dan warisan negara; serta memastikan pengurusan dana awam dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Pembaharuan berterusan yang dimulakan pada 2023 telah meletakkan asas kukuh bagi pelaksanaan inisiatif ini. Kemajuan tersebut disokong oleh petunjuk ekonomi yang positif, dan diharapkan momentum itu dapat dikekalkan pada tahun-tahun akan datang.
Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Ekonomi yang benar-benar berjaya bukan sekadar ekonomi yang berkembang, tetapi ekonomi yang memenuhi keperluan kehidupan rakyat.
“Justeru, persoalannya bukan sekadar sebesar mana ekonomi yang ingin dibina, tetapi sama ada pertumbuhan itu memberi ruang kepada keluarga untuk meningkatkan tabungan, pekerja menikmati upah yang lebih tinggi, perusahaan kecil terus berkembang, serta setiap daripada mereka berpeluang menggapai cita-cita setinggi mungkin, sambil terus mengakar di bumi nyata,”.
-- BERNAMA