BERITA TERKINI   Tabung Pos ditubuhkan dengan dana RM150 juta di bawah seliaan MCMC, beroperasi suku pertama 2027 – Fahmi | Agong kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi  | Syed Saddiq, Bella Astillah sah bergelar suami isteri sekitar 10.40 pagi hari ini | Wakil Malaysia, Nur Syakura Mohamad Musa, dinobatkan juara kategori tilawah Al-Quran wanita pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66 | Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Istana Negara pada pukul 10.08 pagi, diberi sambutan negara. | 

Inisiatif Cukai Belanjawan 2027 Sokong Perniagaan, Tingkat Produktiviti - Pakar

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Inisiatif cukai bersasar dalam Belanjawan 2027 dijangka menyokong daya saing perniagaan, menggalakkan pelaburan domestik serta memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia di tengah-tengah peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan global, kata pakar cukai.

Rakan Pengurusan Cukai Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd Malaysia Farah Rosley berkata belanjawan tersebut memberi kelegaan di bahagian yang paling terdesak terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta perniagaan kecil.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, ia memberi penekanan yang lebih besar kepada asas pertumbuhan mampan jangka panjang menerusi peningkatan produktiviti, pembangunan tenaga kerja, penerapan teknologi, penarikan pelaburan dan keupayaan domestik yang lebih kukuh.

Ad Banner

“Gabungan disiplin fiskal, sokongan bersasar dan langkah untuk memperkukuh daya saing mencerminkan peralihan berterusan daripada bantuan jangka pendek kepada pembaharuan struktur yang bertujuan membina ekonomi yang lebih tahan lasak, inovatif dan bernilai tinggi.

“Pelaksanaan yang berkesan, jaminan dasar serta kerjasama awam-swasta yang kukuh adalah kritikal untuk menterjemahkan langkah ini kepada hasil yang bermakna dan berpanjangan bagi sektor perniagaan, pelabur serta rakyat,” menurut Farah dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Percukaian Deloitte Malaysia Sim Kwang Gek berkata belanjawan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas ekonomi negara serta meletakkan Malaysia untuk pertumbuhan masa hadapan tanpa memperkenalkan pembaharuan cukai atau cukai baharu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Daripada memperkenalkan pembaharuan cukai atau cukai baharu, kerajaan mengambil pendekatan bersasar yang bertumpu kepada usaha memperkukuh daya saing, menggalakkan pelaburan, menyokong peningkatan produktiviti serta meningkatkan daya tahan isi rumah,” katanya.

Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM) Alan Chung menjelaskan langkah penjimatan cukai bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan membantu perniagaan mengekalkan daya tahan kewangan.

Katanya, langkah ini pada waktu mereka menyesuaikan diri dengan peningkatan kos operasi akibat tekanan inflasi dan harga tenaga yang lebih tinggi susulan ketegangan geopolitik global baru-baru ini.

Rakan Pengurusan Negara Deloitte Malaysia Yee Wing Peng berkata usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sambil mengekalkan pelaburan dalam pembangunan ekonomi dan sosial, mencerminkan komitmen untuk mengimbangi kemampanan fiskal dengan pertumbuhan.

Beliau memaklumkan pelaburan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, pendidikan, pembangunan bakat serta infrastruktur strategik akan menyokong pertumbuhan masa hadapan yang dipacu oleh inovasi, produktiviti dan modal insan.

“Secara keseluruhannya, langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027 mencerminkan pendekatan yang seimbang terhadap pembangunan negara,” katanya.

Berkenaan sokongan isi rumah, Ketua Perkhidmatan Majikan Global Deloitte Malaysia Ang Weina berkata Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan kewangan isi rumah berpendapatan sederhana menerusi pengurangan cukai, perluasan langkah pelepasan serta insentif berkaitan perumahan.

Menurut beliau belanjawan berkenaan memberi penekanan khusus kepada sokongan bagi "generasi sandwic" dengan pelepasan yang ditambah baik bertujuan melegakan beban kewangan dalam menjaga anak-anak di bawah tanggungan serta ibu bapa yang semakin warga tua.

“Secara keseluruhannya, langkah ini mencerminkan pendekatan seimbang yang menangani cabaran kos sara hidup perkhidmatan serta-merta selain memajukan objektif lebih luas membabitkan jaminan kewangan, kesiapsiagaan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA