Insentif Cukai GSH Tingkat Daya Tarikan Johor Sebagai Hab Perniagaan Serantau - IIB
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Insentif cukai Hab Perkhidmatan Global (GSH) yang dipertingkat di bawah Belanjawan 2027, termasuk kadar cukai lima peratus ke atas pendapatan yang layak untuk syarikat baharu yang memenuhi syarat, dijangka meningkatkan daya tarikan Johor sebagai hab perniagaan serantau.
Iskandar Investment Bhd (IIB) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu amat relevan khususnya kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Insentif GSH ini berpotensi menarik fungsi serantau yang bertanggungjawab membuat keputusan perniagaan serta menyokong pekerjaan bernilai tinggi dari segi kewangan, teknologi dan data hingga pematuhan, operasi pelanggan dan pengurusan perniagaan.
"Sehubungan itu, IIB bersedia membantu pelabur menterjemahkan peluang ini dalam bentuk operasi sebenar di lapangan,” tambahnya.
IIB yang 60 peratus dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd, merupakan syarikat pegangan pelaburan yang bertanggungjawab menerajui pembangunan strategik Iskandar Malaysia, dengan tumpuan utama di Iskandar Puteri.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Idzham Mohd Hashim berkata Belanjawan 2027 mengukuhkan kedudukan Johor dalam menarik pelaburan, khususnya dalam operasi perniagaan serantau yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
“Belanjawan 2027 menjadikan Johor lebih menarik sebagai destinasi pelaburan melalui insentif yang ditawarkan, usaha memajukan agenda kesalinghubungan serta tumpuan tepat pada masanya terhadap pembangunan bakat.
“Peranan kami adalah untuk membantu mempercepatkan pelaksanaan pelaburan dengan beralih daripada sekadar minat dan komitmen pelabur kepada penubuhan operasi perniagaan yang menggaji rakyat Malaysia, membina jaringan tempatan dan mewujudkan nilai yang berkekalan,” katanya.
IIB turut menekankan langkah-langkah untuk menambah baik kesalinghubungan dan pemilikan rumah, termasuk sokongan bagi penambahbaikan pengangkutan awam di Johor Bahru, peluasan Skim Jaminan Kredit Perumahan dengan nilai sehingga RM20 bilion bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama dan pelepasan duti setem bagi pembeli rumah pertama yang layak bagi tempoh 2027 hingga 2030.
-- BERNAMA