BERITA TERKINI   Malaysia, Indonesia bincang kerjasama tangani kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan -- Mohamad Hasan | Dewan Rakyat lulus usul lantik empat Ahli Parlimen anggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen | Malaysia negara pertama berjaya yakinkan Myanmar terima kembali warganya, bukti pencapaian diplomatik yang hebat - Fahmi | Tabung Kasih@HAWANA salur bantuan kepada 864 pengamal media, babitkan peruntukan RM2.54 juta – Menteri Komunikasi | Firma perkhidmatan semikonduktor Ecosys mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 70 sen, 43 sen melebihi harga IPO | 

Signify Perkukuh Pengedaran Di Malaysia, Pacu Pencahayaan Pintar Dalam Segmen Pengguna

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Syarikat pencahayaan global, Signify sedang mempertingkatkan kehadirannya secara dalam talian dan inisiatif pengedarannya di Malaysia bagi memacu penggunaan penyelesaian pencahayaan terhubung, susulan potensi pertumbuhannya yang ketara dalam segmen pengguna di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Pengguna Pasaran Baharu Muncul Signify merangkap Pengarah Urusan bagi Singapura Chandra Vaidyanathan berkata pencahayaan terhubung menyumbang kira-kira 10 peratus daripada perniagaan pencahayaan pengguna syarikat itu di Malaysia, berbanding 15 peratus di seluruh Asia.

“Di Malaysia, potensinya adalah besar. Kadar penggunaan sistem pencahayaan terhubung di Malaysia adalah lebih rendah berbanding rantau Asia yang lain.

Ad Banner

“Kami melihat jumlah yang ketara bagi individu yang berminat untuk menggunakannya. 

“Oleh itu, kami sedang melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kehadiran dan saluran pengedaran secara dalam talian kami bagi memastikan lebih ramai pengguna dapat mengakses penyelesaian ini," katanya dalam satu taklimat media di Singapura menjelang perlumbaan Formula 1 Grand Prix Singapura, baru-baru ini.

Chandra berkata Signify menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pencahayaan terhubung kepada perniagaan pencahayaan pengguna di Asia kepada sekurang-kurangnya 25 peratus dalam beberapa tahun akan datang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, katanya, syarikat itu menyedari bahawa kadar kesedaran dan kemampuan yang terhad kekal sebagai halangan utama bagi penggunaan yang lebih meluas dalam penyelesaian pencahayaan pintar. 

Oleh itu, bagi mengatasi cabaran tersebut, beliau berkata, syarikat itu telah memperkenalkan produk yang lebih mampu milik sambil meningkatkan usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna. 

Chandra berkata pemahaman mendalam pengguna di seluruh Asia Tenggara turut mencorakkan pembangunan produk, yang mencerminkan keperluan isi rumah dan gaya hidup yang berbeza-beza. 

“Di Malaysia, pengguna telah menyatakan keutamaan mereka bagi kawalan pencahayaan yang mudah, termasuk keupayaan untuk memadamkan lampu tanpa perlu bangun dari katil,” katanya. 

Sementara itu, di Thailand, permintaan terhadap pencahayaan terhubung sebahagiannya didorong oleh elemen hiburan di rumah, khususnya karaoke, yang membolehkan pencahayaan diselaraskan dengan muzik bagi meningkatkan pengalaman pengguna.

Chandra berkata pengguna di Indonesia pula semakin mengutamakan kebolehubahan antara pencahayaan putih terang tradisional dengan suasana lebih menenangkan, yang lazimnya dikaitkan dengan hotel dan restoran.

Katanya, perubahan cita rasa ini berlaku kerana kediaman di Asia semakin memainkan pelbagai fungsi, termasuk sebagai ruang kerja, tempat belajar dan ruang hiburan, sekali gus mewujudkan peluang bagi penyelesaian pencahayaan yang lebih fleksibel.

Chandra berkata Signify juga sedang melabur dalam keupayaan peralatan, perisian dan kecerdasan buatan bagi memperluaskan portfolio pencahayaan terhubungnya serta memberikan pengalaman lebih diperibadikan.

“Syarikat ini mengutamakan inovasi industri yang dipacu pengguna, dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian yang intuitif dan mudah digunakan serta bukannya sekadar ciri-ciri yang dipacu oleh teknologi,” katanya. 

-- BERNAMA