BERITA TERKINI   Liga Super: Melaka 3-2 KL City | Liga Super: Selangor 3-1 Penang | Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan di Johor ditutup lima hari lagi bermula Isnin - Exco | Liga Super: Negeri Sembilan 1-1 Sabah | 

Amir Hamzah Saran Alumni Tingkat Sokongan Sekolah, Serlah Insentif Cukai

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Badan-badan alumni disaran untuk memperkukuh sokongan mereka kepada sekolah, dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menekankan insentif cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 adalah sumbangan ke arah usaha tersebut.

Katanya, kerajaan mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh alumni dalam menyokong sistem pendidikan Malaysia dan sekolah masing-masing.

Ad Banner

“Seperti yang anda perhatikan dalam belanjawan yang diumumkan minggu lepas, kerajaan juga menerima perjalanan ini dan mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh alumni,” katanya semasa Majlis Makan Malam Gala Persatuan Alumni St John 2026 di sini malam ini.

Sebelumnya, Amir Hamzah telah menerima Anugerah Eagle 2026.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Di bawah Belanjawan 2027, sumbangan tunai kepada Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, yang mana, dana itu diharap dapat menyokong operasi sekolah, pembaikan kemudahan, pembelian peralatan dan program pelajar.

Amir Hamzah menyeru bekas pelajar untuk memberi dengan murah hati, menegaskan bahawa sumbangan mereka harus melangkaui bantuan kewangan.

Badan alumni boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman pendidikan dan membantu generasi muda mendapat manfaat daripada proses pembelajaran yang telah membentuk nilai serta sahsiah bekas pelajar.

“Kebanyakan daripada kita telah diberikan keistimewaan semasa berada di sekolah. Majoriti kita telah mengambil etos yang menjadikan kita berbeza.

“Apa yang kita mahukan sekarang ialah menanamkan etos yang sama, peluang yang sama dan keistimewaan yang sama kepada generasi akan datang,” katanya.

Amir Hamzah merakamkan penghargaan atas inisiatif Persatuan Alumni St John yang meliputi kesejahteraan ekonomi, pendidikan, kecemerlangan sekolah dan pembangunan sukan.

Beliau berkata persatuan itu sentiasa mendekati mereka yang memerlukan sokongan tanpa mengira fahaman, bangsa atau latar belakang, menunjukkan belas kasihan dan khidmat tidak mementingkan diri demi kebaikan lebih besar rakyat serta negara Malaysia.

Mengimbau kembali zaman persekolahannya, Amir Hamzah berkata beliau amat berbesar hati dapat menerima anugerah itu, 42 tahun selepas meninggalkan St John's Institution.

“Empat dekad lalu, saya telah meninggalkan St John's tetapi hakikatnya semangat Johannian tidak pernah meninggalkan saya.

“Ikatan dan persahabatan yang telah kita bina selama ini terus berada dalam hati dan fikiran kita semua,” katanya.

Beliau menggesa alumni untuk terus menyumbang ke arah membina negara yang lebih baik dan komuniti yang lebih kukuh, sambil meninggalkan legasi yang berkekalan kepada generasi akan datang.

— BERNAMA