Mercedes Berminat Kembali Ke Sepang, Signify Sedia Sokong Cadangan Perlumbaan Malam
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Formula Satu (F1) kembali ke Malaysia telah mencetuskan semula minat terhadap Litar Antarabangsa Sepang, dengan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One berminat untuk berlumba di sana sekali.
Dalam pada itu, syarikat teknologi pencahayaan global, Signify, bersedia menyediakan penyelesaian bagi penganjuran perlumbaan pada waktu malam yang mungkin akan diadakan.
Timbalan Prinsipal Pasukan Mercedes, Bradley Lord berkata bagi pasukan tersebut, berlumba di Malaysia terasa seolah-olah berlumba di laman sendiri, beliau mengimbau sambutan penuh semangat daripada ribuan peminat semasa satu acara promosi di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain yang berlangsung di Sepang baru-baru ini.
Beliau menambah bahawa pasukan itu mengalu-alukan peluang untuk berlumba semula di Sepang, walaupun keputusan yang dicapai pada GP Bahrain itu agak mengecewakan.
"Ya, semestinya. Saya tahu keputusan di Sepang tidak begitu memberangsangkan, tetapi kami melalui hujung minggu yang luar biasa," katanya dalam satu taklimat media dianjurkan oleh Mercedes bersama rakan kongsi teknologi pencahayaannya, Signify, semasa GP Singapura baru-baru ini.
Lord berkata demikian sebagai respons kepada soalan mengenai prospek Malaysia kembali ke dalam kalendar F1 secara tetap.
Malaysia menjadi tuan rumah bagi GP Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober 2026, selepas perlumbaan itu dipindahkan dari Litar Antarabangsa Bahrain di Sakhir susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Perlumbaan tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung pada bulan April.
Mengimbau kembali kehadiran pasukan itu di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur sebelum perlumbaan bermula, Lord berkata ribuan peminat telah berkumpul untuk menyambut pasukan Mercedes.
"Ribuan orang hadir. Saya berbual dengan rakan sekerja di Petronas, dan mereka berkata, 'Anda semua seolah-olah menawan seluruh bandar ini.' Bagi kami, berlumba di Malaysia terasa seperti berlumba di laman sendiri. Kami teringin sangat kembali ke sana. Mungkin kami akan meminta mereka untuk menurap semula litar tersebut. Pasti hebat jika dapat kembali ke sana," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Signify, As Tempelman berkata keupayaan teknologi bukanlah satu halangan sekiranya Malaysia memutuskan untuk menganjurkan perlumbaan F1 pada waktu malam di Sepang.
"Saya berani katakan bahawa teknologi tidak akan menjadi kekangan. Jadi...kita boleh mengatasinya? Sudah tentu, jika terdapat perlumbaan malam di Malaysia, saya yakin kita boleh mencari penyelesaiannya. Saya tidak meragui perkara itu," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Tempelman menegaskan bahawa sebarang usaha sedemikian bergantung terlebih dahulu kepada hasrat penganjur perlumbaan dan pihak berkuasa berkaitan.
"Segala-galanya bermula dengan apa yang diinginkan oleh penganjur dan pihak berkuasa daripada acara tersebut. Saya rasa itulah langkah pertama perlu diambil sekiranya Malaysia benar-benar mahu menganjurkan perlumbaan malam. Namun, jika kita sampai ke tahap itu, kami akan memastikan penyelesaian yang tepat dapat dirancang dan dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar DZ Engineering, Roberto Grilli, menyatakan minat untuk mengemukakan cadangan melibatkan teknologi pencahayaan daripada Signify, sekiranya Sepang memutuskan untuk menganjurkan perlumbaan malam.
Beliau berkata syarikatnya menghargai kerjasama jangka panjang dengan Signify dan menyatakan bahawa kualiti produk pencahayaan mereka menjadi faktor utama untuk meneruskan kolaborasi tersebut.
DZ Engineering telah bekerjasama dengan Signify dalam aspek pencahayaan sukan permotoran sejak perlumbaan malam F1 pertama di Singapura pada tahun 2008, kerjasama mereka turut merangkumi GP Las Vegas serta perlumbaan Formula E di Diriyah, Arab Saudi, dan London.
Di Litar Marina Bay Street, Singapura, penggunaan lampu limpah LED Philips ArenaVision pada 2023 telah mengurangkan penggunaan tenaga pencahayaan sebanyak 30 peratus berbanding sistem metal-halide yang digunakan sebelum ini.
Dalam pada itu, F1 dilaporkan sedang meneliti bidaan daripada beberapa negara dari Asia untuk mendapatkan tempat dalam kalendar perlumbaannya, dengan Malaysia, Thailand, Vietnam, dan Korea Selatan antara negara yang berminat.
Asia juga dijangka menganjurkan sembilan perlumbaan F1 pada 2027, berbanding lapan di Eropah, susulan kembalinya GP Turkiye, ia menandakan kali pertama rantau tersebut mengatasi Eropah dari segi jumlah perlumbaan dianjurkan.
Mengenai kemungkinan Thailand menyertai kalendar F1, Lord menyambut baik prospek tersebut, walaupun beliau mengakui bahawa penganjuran sesebuah perlumbaan memerlukan komitmen dan pelaburan besar.
"Pada pendapat saya, ia akan menjadi satu penambahan yang hebat dalam kalendar perlumbaan. Tidak dapat dinafikan lagi. Kami pasti sangat teruja untuk menyertainya jika ia dimasukkan ke dalam kalendar pada masa akan datang. Sudah tentu," katanya.
Lord turut berkata sokongan terhadap F1 kembali ke India, menyifatkan lokasi penganjuran sebelum ini sebagai sebuah litar dan kemudahan yang sangat baik.
India kini sedang berusaha menangani pelbagai halangan berkaitan cukai dan peraturan bagi membolehkan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Buddh berhampiran New Delhi pada 2028, lebih sedekad selepas Grand Prix India dihentikan susulan edisi ketiganya pada 2013, akibat pertikaian mengenai cukai dan peraturan.
“Penganjuran F1 di India akan menjadi bahagian yang sangat semula jadi dan logik untuk sukan ini, katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kerumitan yang sering mengiringi acara sukan berskala besar perlu ditangani, manakala keputusan muktamad mengenai perjanjian penganjuran terletak di tangan pihak pengurusan Formula Satu.
-- BERNAMA