Kerajaan Dicadang Perluas Asas Percukaian Perkukuh Hasil Biayai Pembangunan Negara
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) – Kerajaan dicadang memperluaskan asas percukaian serta sumber pendapatan strategik baharu bagi memperkukuh hasil dan menyediakan ruang lebih besar untuk membiayai pembangunan negara.
Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari berkata komitmen perbelanjaan bagi subsidi, emolumen, bayaran khidmat hutang dan persaraan mengehadkan ruang kerajaan untuk melaksanakan program perubahan serta transformasi ekonomi.
Beliau berkata peningkatan pelaburan dan perdagangan perlu turut diterjemahkan kepada pertumbuhan hasil kerajaan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan kepada rakyat secara berterusan.
“Namun, konteks percukaian yang lebih luas harus dipertimbang dan difikirkan, di samping mempertimbangkan hasil yang wajar diketengahkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Selangor meminta Kementerian Kewangan menjelaskan semakan yang dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat meningkatkan hasil kerajaan dan memperkukuh keupayaannya membantu rakyat.
“Keberhasilan kerangka pembangunan negara, termasuk Ekonomi MADANI dan pelan pembangunan perindustrian, perlu turut dilihat dari segi sumbangannya kepada peningkatan hasil, selain pencapaian pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan,” katanya.
Amirudin berkata permintaan untuk meningkatkan bantuan kepada rakyat perlu dinilai bersama keupayaan kerajaan menjana hasil melalui sistem percukaian yang lebih baik.
Katanya, perkara itu perlu dirancang dengan teliti bagi membolehkan transformasi dan reformasi pembangunan negara dilaksanakan, di samping mengurangkan pergantungan kepada dana Petronas serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Beliau turut mencadangkan penglibatan kerajaan secara terpilih dalam industri strategik bagi membangunkan sumber pendapatan baharu yang boleh menyokong pembangunan dan membantu rakyat.
“Petronas adalah contoh yang baik. Tetapi kita kena membuat satu lagi projek ‘moonshot’ (projek besar dengan sasaran hasil tinggi) di dalam negara kita yang bukan hanya bergantung kepada sesuatu hasil ataupun sesuatu konteks supaya hasil itu dapat membantu rakyat,” katanya.
-- BERNAMA