BERITA TERKINI   Malaysia akan perkenal langkah transformasi tangani jerebu rentas sempadan tahun depan - Arthur | Malaysia rancang meterai MoU dengan Indonesia, Singapura, Kemboja dalam bidang filem, animasi, muzik, persembahan konsert - Fahmi | Malaysia, Singapura, Kemboja bincang kerjasama perkongsian data industri kreatif termasuk filem dan persembahan artis - Fahmi | Sukan Para Asia 2026: Atlet para olahraga negara, Wong Kar Gee raih emas acara lompat jauh T12 | Bacaan IPU dikeluarkan JAS kekal sebagai rujukan tentukan kualiti udara negara - Arthur | 

Harga Minyak Lebih Tinggi, Asas Operasi Kukuh Sokong Sektor O&G – RHB IB

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Sektor minyak dan gas (O&G) bersepadu Malaysia dijangka mengekalkan prospek positif pada suku keempat 2026, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan daya tahan operasi, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota hari ini, RHB IB memaklumkan ketegangan yang kembali memuncak di Asia Barat telah mendorong harga minyak mentah Brent melepasi US$100 setong, manakala gangguan perkapalan menyebabkan kadar tambang kapal tangki melonjak dengan ketara.

Menurut bank pelaburan itu, persekitaran harga minyak yang lebih tinggi dijangka menyokong aktiviti huluan, sementara kenaikan kadar tambang kapal tangki berpotensi memberikan manfaat kepada syarikat perkapalan.

Ad Banner

“Walaupun tempoh kejutan bekalan itu masih tidak menentu, kami percaya sektor O&G Malaysia terus disokong oleh pelaburan huluan, aktiviti luar pesisir yang berdaya tahan dan pendapatan kontrak berulang,”  menurutnya.

RHB IB menyatakan bahawa aktiviti huluan yang berterusan, aliran tunai berasaskan kontrak dan kekuatan pasaran kapal tangki dijangka terus menjadi pemacu utama pendapatan sektor itu.

Bank pelaburan itu mengekalkan andaian harga minyak mentah Brent pada US$89 setong bagi 2026 dan US$72 setong bagi 2027, sejajar dengan jangkaannya bahawa premium risiko geopolitik semasa akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, RHB IB menyifatkan peningkatan perbelanjaan modal (capex) huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebanyak 19 peratus tahun ke tahun kepada RM8.7 bilion pada separuh pertama 2026 (1H 2026) sebagai petunjuk positif bagi sektor berkenaan.

Petronas mencatatkan jumlah pelaburan modal sebanyak RM41.4 bilion dalam tempoh itu, dengan RM26 bilion atau 63 peratus berkaitan aktiviti hiliran. Perbelanjaan hiliran yang tinggi itu sebahagian besarnya disebabkan suntikan modal tambahan ke dalam usaha sama Pengerang Refining Company dan Pengerang Petrochemical.

Dari segi saranan pelaburan, RHB IB mengekalkan penarafan “Overweight” bagi sektor O&G, dengan memilih MISC berikutan pendapatan gas asli cecair (LNG) yang stabil dan potensi manfaat daripada kenaikan kadar tambang kapal tangki, manakala Dialog menjadi pilihan kerana pendapatan berulang daripada operasi pertengahan serta peluasan Terminal Air Dalam Pengerang.

-- BERNAMA