BERITA TERKINI   Malaysia gesa harta intelek diiktiraf sebagai aset boleh diterima bank untuk pertingkat ekonomi kreatif global - Fahmi | Malaysia cadang perkukuh kerjasama antarabangsa dalam penerbitan bersama, pertukaran bakat kreatif, perkongsian data - Fahmi | Malaysia akan perkenal langkah transformasi tangani jerebu rentas sempadan tahun depan - Arthur | Malaysia rancang meterai MoU dengan Indonesia, Singapura, Kemboja dalam bidang filem, animasi, muzik, persembahan konsert - Fahmi | Malaysia, Singapura, Kemboja bincang kerjasama perkongsian data industri kreatif termasuk filem dan persembahan artis - Fahmi | 

Penamatan Operasi Loji Arang Batu TNB Bergantung Pada Keupayaan Tangani Trilema Tenaga

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Keputusan untuk menamatkan operasi loji janakuasa arang batu milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) bergantung kepada keupayaan Malaysia menangani trilema tenaga, menurut CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) hari ini.

Bank pelaburan itu memaklumkan beberapa perjanjian pembelian tenaga (PPA) TNB untuk penjanaan elektrik berasaskan arang batu akan tamat tempoh dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ia menambah keputusan sama ada untuk menamatkan operasi loji berkenaan atau melanjutkan tempoh perjanjian pembelian tenaga (PPA) bergantung kepada lima faktor utama, iaitu pertumbuhan permintaan elektrik, ketersediaan dan harga bahan api, penyediaan kapasiti penjanaan gantian yang boleh dipercayai, aspek ekonomi penjanaan tenaga dan kesiapsiagaan grid elektrik.

Ad Banner

Mengenai penetapan harga karbon, TNB sedang menilai potensi kesannya merentasi pelbagai senario terhadap portfolio penjanaan tenaga syarikat itu, dengan pemulihan kos bergantung kepada rangka kerja akhir, peruntukan kawal selia dan terma kontrak bagi setiap PPA, menurutnya.

CIMB IB memaklumkan demikian dalam nota penyelidikan hari ini susulan webinar pelabur TNB pada 21 Okt, yang mana syarikat utiliti itu berkongsi maklumat terperinci berhubung usaha penyahkarbonannya.

TNB juga mengesahkan semula sasaran pelepasan karbon sifar bersihnya menjelang 2050, dengan matlamat interim untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon (CE) Skop 1 sebanyak 5.0 peratus setiap tahun mulai 2025, serta mengurangkan intensiti CE sebanyak 35 peratus dan kapasiti penjanaan arang batu sebanyak 50 peratus menjelang 2035.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 Bank pelaburan itu memaklumkan strategi pengurusan karbon TNB tertumpu kepada tiga teras utama, iaitu pengurangan pelepasan karbon, pemerangkapan karbon dan pengimbangan baki pelepasan karbon melalui kredit karbon.

"Inisiatif utama untuk mengurangkan pelepasan karbon termasuk meningkatkan kecekapan loji janakuasa, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri, menaik taraf grid elektrik serta mengurus permintaan waktu puncak melalui tarif mengikut skim masa penggunaan (ToU)," tambahnya.

Secara keseluruhan, CIMB IB menyatakan pihaknya melihat usaha penyahkarbonan TNB secara positif kerana disokong oleh strategi yang jelas dan sasaran yang konkrit.

"Pada pandangan kami, terdapat risiko bahawa sasaran pengurangan pelepasan karbon TNB mungkin tertangguh sekiranya tempoh PPA bagi loji janakuasa arang batu yang dijadualkan tamat operasinya, tetapi dilanjutkan lagi," tambahnya.

-- BERNAMA