BERITA TERKINI   Malaysia gesa kerangka kawal selia AI dalam industri kreatif, pengkarya manusia jadi keutamaan - Fahmi | Malaysia gesa harta intelek diiktiraf sebagai aset boleh diterima bank untuk pertingkat ekonomi kreatif global - Fahmi | Malaysia cadang perkukuh kerjasama antarabangsa dalam penerbitan bersama, pertukaran bakat kreatif, perkongsian data - Fahmi | Malaysia akan perkenal langkah transformasi tangani jerebu rentas sempadan tahun depan - Arthur | Malaysia rancang meterai MoU dengan Indonesia, Singapura, Kemboja dalam bidang filem, animasi, muzik, persembahan konsert - Fahmi | 

Kerajaan Sedang Muktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Asli, Jamin Bekalan Tenaga - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kerajaan dalam proses memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) bagi menyelaras pembangunan sektor Malaysia agar sejajar dengan dasar negara serta Rancangan Malaysia Ke-13, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. 

Beliau berkata Malaysia perlu bertindak memperkukuh aspek bekalan gas yang berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global dan peningkatan permintaan tenaga susulan pembangunan pengeluaran, pusat data dan industri digital.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang telah menyumbang kepada proses (memuktamadkan pelan ini). Pelan hala tuju sedemikian akan hanya bermakna jika dapat diterjemahkan kepada projek, pembaharuan serta hasil yang dapat dinilai,” katanya menerusi rakaman video di Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2026 di sini, hari ini.

Ad Banner

Mengulas selanjutnya, Akmal Nasrullah berkata keadaan global yang tidak menentu juga telah memberikan impak pantas sebagaimana yang dapat dilihat sebelum ini.

“Gangguan terhadap perdagangan perdagangan gas asli cecair (LNG) antarabangsa pada 2026 turut menjejaskan ketersediaan bekalan selain meningkatkan ketidaktentuan harga di seluruh rantau ini.

“Oleh itu, pengajarannya amat jelas: Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada keadaan pasaran global sebaliknya perlu memperkukuh daya tahan sendiri melalui kepelbagaian bekalan, perolehan yang mantap, kesiapsiagaan infrastruktur serta pengaturan pasaran yang berkesan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ini bermakna kita perlu menyokong pembangunan sumber gas domestik, bertindak mempelbagaikan sumber import LNG bagi melengkapkan bekalan domestik serta memastikan infrastruktur yang tersedia bagi penyaluran gas kepada pengguna,” katanya.

Pada masa sama, Akmal Nasrullah mengingatkan pembangunan sumber gas domestik perlu mengambil kira kedudukan sumber dan keperluan pembangunan yang berbeza antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melalui kerjasama dengan kerajaan negeri masing-masing serta pemain industri berkaitan.

Beliau berkata sebagai negara yang mengeluarkan serta mengimport gas, Malaysia perlu meneruskan usaha memperkukuh hubungan dengan negara-negara pembekal dan rakan serantau selain mengekalkan kedudukan sebagai peserta boleh diyakini dalam perdagangan gas antarabangsa.

Akmal Nasrullah berkata ini penting berikutan peranan kritikal gas dalam sistem tenaga elektrik yang fleksibel, pengeluaran industri serta aktiviti-aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

Di bawah Laluan Peralihan Bertanggungjawab Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), gas asli dijangka menyumbang sebanyak 56 peratus daripada jumlah bekalan tenaga primer Malaysia menjelang 2050, sekali gus menyokong bekalan elektrik yang stabil apabila penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) terus berkembang.

Beliau berkata kerajaan juga telah bersetuju dengan pembangunan Terminal Penggasan Semula Ketiga (RGT3) di Lumut, Perak bagi memperkukuh jaminan keselamatan bekalan gas Malaysia untuk jangka panjang.

RGT3 yang disasarkan untuk memulakan operasi komersial pada suku kedua 2029, dijangka dapat meningkatkan daya tahan dan fleksibiliti infrastruktur bekalan gas negara, menyokong peningkatan permintaan tenaga domestik serta mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap keterjaminan tenaga Malaysia.

Teknologi seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon selain biometana, menawarkan lebih banyak peluang tambahan jika bersesuaian dari segi teknikal dan berdaya maju bagi tujuan komersial.

“Saya menggalakkan industri untuk memaparkan lagi kemajuan menerusi usaha pengurangan pelepasan karbon yang dapat diukur. Kita juga perlu menjana nilai ekonomi lebih tinggi daripada setiap unit gas dan pada masa sama bertindak mengurangkan kesan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Seri Nor Azmie Diron berkata NGR bertujuan mengimbangi aspek keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar selain menangani keperluan pembangunan gas yang berbeza di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Menyentuh infrastruktur gas baharu bagi Semenanjung Malaysia, beliau berkata pembangunan penggasan semula di Lumut, Perak dan Yan, Kedah akan menyumbang dari segi penambahan kapasiti melebihi 1,000 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) yang dapat memperkukuh keterjaminan tenaga, khususnya di seluruh wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Di Sabah, pelaburan selanjutnya akan menumpukan kepada pembangunan sistem saluran paip serta penerokaan sumber gas luar pesisir di Pantai Timur dan pembangunan terminal penggasan semula pada masa depan yang selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.

“Bagi Sarawak, NGR itu mengiktiraf empat hab gas di Kuching, Bintulu, Samalaju dan Miri yang dikenal pasti dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pelan hala tuju berkenaan dapat meningkatkan kecekapan pasaran gas melalui pelaksanaan akses pihak ketiga serta penggunaan sistem digital kemudahan urus niaga gas dan tempahan kapasiti.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA) Abang Yusuf Abang Puteh berkata dalam ketidaktentuan global serta perubahan pasaran tenaga, tumpuan kini perlu beralih daripada usaha mengenal pasti cabaran kepada mencari penyelesaian yang praktikal untuk memperkukuh keterjaminan, daya tahan dan daya saing jangka panjang tenaga Malaysia.

Beliau berkata salah satu pengajaran utama daripada pengalaman yang ada membuktikan setiap sistem tenaga saling berkait dan memerlukan usaha kerjasama yang erat.

“Bekalan gas itu perlu menjangkaui masyarakat dan industri yang memerlukannya. Infrastruktur pula perlu boleh diharapkan dan bersedia bagi perubahan permintaan.

“Projek perlukan pelaburan dan pelaburan pula bergantung kepada keyakinan. Setiap seorang daripada berperanan dalam penyelesaian; kemajuan hanya terhasil apabila semua memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, acara MyGAS 2026 anjuran MGA adalah bertemakan “Powering Confidence: Practical Pathways for a Resilient Energy Future” atau Memperkukuh Keyakinan: Laluan Praktikal bagi Masa Depan Tenaga yang Berdaya Tahan.

-- BERNAMA