KUSKOP Perkukuh Kawal Selia e-Dagang Asing, Lindungi Kepentingan PMKS Tempatan
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang menyelaraskan usaha bagi memastikan persaingan yang adil melalui pengukuhan kawal selia platform e-dagang asing serta memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kementerian itu menjelaskan usaha tersebut merangkumi tindakan rentas kementerian dan agensi berkaitan merangkumi Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta meneliti aspek persaingan yang adil, pematuhan piawaian dan keselamatan produk, percukaian serta kerangka kawal selia platform e-dagang asing.
"Isu ini turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam perbincangan dua hala bersama kepimpinan China pada September 2026, dengan tindakan susulan sedang diperhalusi bagi memastikan kepentingan PMKS tempatan terus dilindungi," maklum kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
KUSKOP memaklumkan sedemikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta kementerian tersebut menjelaskan pelan mitigasi segera bagi memastikan kelangsungan peniaga kecil dan PMKS tempatan yang terancam akibat lambakan produk import terlalu murah terus dari kilang luar negara menerusi aplikasi e-dagang kepada pengguna domestik.
Selain itu, kementerian tersebut juga akan melaksanakan intervensi bagi membantu PMKS meningkatkan daya tahan dan keupayaan bersaing, antaranya memperkukuh kerjasama dengan platform Alibaba bagi membuka peluang kepada produk PMKS Malaysia menembusi pasaran yang lebih luas.
Antara inisiatif yang diteroka termasuk program rintis membawa produk PMKS Malaysia ke platform Tmall dan Taobao bagi pasaran China, serta memanfaatkan platform Daraz bagi pasaran Asia Selatan.
Sementara itu, SME Corp Malaysia turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lazada Malaysia pada 15 Okt, 2026 melalui MSME Digital Export Initiative yang merangkumi latihan eksport digital, pemadanan pasaran, penyenaraian produk dan promosi jenama Malaysia.
Menurut KUSKOP, Bank Rakyat juga sedang meneroka kerjasama strategik dengan Alibaba dan Lazada bagi memperkukuh pendigitalan, memperluas akses pasaran serta meningkatkan daya saing usahawan tempatan, susulan lawatan kerja ke Shanghai pada 22 Sept, 2026.
"Sebagai langkah awal, Bank Rakyat akan mengenal pasti antara 30 hingga 50 usahawan yang berpotensi untuk mengikuti sesi kesedaran, latihan dan bimbingan bersama rakan strategik, sebelum memilih peserta yang bersesuaian bagi menyertai program perintis pendaftaran dan pemasaran melalui platform e-dagang," jelas kementerian itu.
KUSKOP turut memperluas penggunaan platform MyMall sebagai saluran pemasaran digital bagi meningkatkan keterlihatan produk PMKS dan koperasi tempatan.
"Sehingga 7 Okt, 2026, seramai 5,781 usahawan telah berdaftar di MyMall dengan nilai jualan sebanyak RM24.5 juta," maklumnya.
Selain itu, kemudahan pembiayaan juga terus disediakan antaranya melalui Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) yang mana sebanyak RM4.7 juta telah disalurkan kepada 505 usahawan sehingga Ogos 2026 bagi menyokong pengembangan perniagaan melalui platform e-dagang.
-- BERNAMA