Synology Catat Pertumbuhan Dua Angka Dalam Jualan Di Malaysia
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Syarikat teknologi Taiwan Synology Inc telah merekodkan pertumbuhan jualan dua angka yang kukuh di Malaysia setakat tahun ini, didorong oleh peningkatan dalam permintaan untuk penyelesaian penyimpanan datanya daripada organisasi kerajaan dan penjagaan kesihatan.
Pengurus Negaranya di Malaysia, Jason Sin berkata syarikat itu mengekalkan pertumbuhan mantap walaupun harga pemacu cakera keras sedang melonjak.
“Sehingga kini, kami telah merekodkan pertumbuhan dua angka. Saya boleh katakan, ia menghampiri pertumbuhan tiga angka,” katanya kepada Bernama luar acara media tahunan Synology di sini.
Synology merupakan pakar dalam peralatan penyimpanan dengan rangkaian tersambung.
Namun, syarikat itu tidak mendedahkan kadar pertumbuhan yang tepat atau menyatakan ukuran yang digunakan.
Syarikat itu telah menerima peningkatan minat daripada industri perubatan apabila pelanggannya semakin menyedari bahawa penyelesaian penyimpanannya boleh menyokong data dan keperluan perubatan mereka.
“Permintaan kerajaan melibatkan kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan, dengan lebih banyak projek datang daripada kerajaan persekutuan, tetapi kami tidak dapat mengenal pasti agensi yang terlibat disebabkan perjanjian tanpa pendedahan,” katanya.
Mengenai perlindungan data, Sin menyarankan mana-mana perniagaan untuk menguji pengaturan sandaran mereka terhadap senario yang berbeza seperti serangan perisian tebusan, ancaman dalaman dan pemadaman data secara tidak sengaja serta tidak bergantung kepada penyelesaian sandaran semata-mata.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perniagaan Antarabangsa Synology, Joanne Weng berkata infrastruktur awan hibrid akan kekal sebagai trend jangka panjang memandangkan banyak perniagaan sedang berusaha untuk menggabungkan perkhidmatan awan awam dengan infrastruktur peribadi mereka sendiri.
“Kami juga telah melihat banyak pelanggan mengambil langkah pertama dengan beralih ke awan. Sekarang pula, mereka sedang menarik data memasuki ke infrastruktur peribadi mereka,” katanya.
Weng berkata menggabungkan infrastruktur awan awam dan peribadi membolehkan perniagaan mendapat manfaat daripada kedua-dua persekitaran.
“Perniagaan perlu melindungi perbelanjaan keselamatan data dan sandaran apabila menyemak belanjawan, sambil terus melatih pekerja untuk bekerja dengan kecerdasan buatan (AI) termasuk mengenali risiko yang muncul,” katanya.
Mengenai penggunaan AI, Ketua Synology Asia Tenggara Antoine Yang berkata data yang bersifat berselerak kekal sebagai cabaran bagi perniagaan Malaysia, termasuk pengeluar, dengan maklumat yang disimpan merentas komputer, infrastruktur awan dan lokasi lain.
“Perniagaan perlu memastikan data yang dibekalkan kepada sistem AI adalah tepat untuk menghasilkan cerapan yang lebih berguna.
“Walaupun kakitangan sudah terdedah dengan alatan AI, terdapat jurang kekal dalam menggunakan data kritikal perniagaan dengan AI bagi menjana keuntungan, sebahagiannya disebabkan oleh kebimbangan terdedahnya maklumat sulit,” katanya.
Beliau menekankan bahawa tadbir urus data yang dipertingkatkan adalah penting sebelum perniagaan menghubungkan maklumat mereka kepada sistem AI.
-- BERNAMA