BERITA TERKINI   Konsortium Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak TNB bernilai RM568.19 juta untuk membina pencawang GIS Paka di Terengganu | Malaysia gesa kerangka kawal selia AI dalam industri kreatif, pengkarya manusia jadi keutamaan - Fahmi | Malaysia gesa harta intelek diiktiraf sebagai aset boleh diterima bank untuk pertingkat ekonomi kreatif global - Fahmi | Malaysia cadang perkukuh kerjasama antarabangsa dalam penerbitan bersama, pertukaran bakat kreatif, perkongsian data - Fahmi | Malaysia akan perkenal langkah transformasi tangani jerebu rentas sempadan tahun depan - Arthur | 

Penggiat Industri Diseru Kemuka Cadangan Mengenai Peralihan Tenaga Malaysia - Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Ekonomi menyeru penggiat industri untuk mengemukakan cadangan dasar mengenai penyimpanan tenaga, ekonomi hidrogen dan pelaksanaan grid pintar bagi memajukan peralihan tenaga Malaysia, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata penyimpanan tenaga, hidrogen dan kecerdasan grid akan membentuk daya saing ekonomi Malaysia dalam tempoh sedekad akan datang memandangkan pelabur semakin menitikberatkan aspek kebolehpercayaan bekalan tenaga, daya saing kos dan intensiti karbon grid.

"Kementerian komited untuk menyediakan hala tuju dasar yang konsisten, pencapaian penting yang telus serta penyelarasan antara kementerian bagi menyokong projek tenaga yang memerlukan modal besar dan tempoh pembangunan yang panjang," katanya.

Ad Banner

Berucap pada Sidang Kemuncak Penyimpanan Tenaga, Hidrogen dan Grid Masa Hadapan Asia (EnerGex 2026) di sini hari ini, beliau turut menyeru penganjur dan peserta sidang kemuncak itu untuk merumuskan perkara utama daripada perbincangan itu yang boleh diterjemahkan kepada tindakan.

“Perkara ini khususnya berkaitan cadangan dasar berkaitan penyimpanan tenaga, ekonomi hidrogen dan pelaksanaan grid pintar dan mengemukakannya secara rasmi kepada kementerian.

Menurutnya pandangan daripada sektor swasta amat penting dalam memperhalusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mohd Shahar berkata kementerian mengamalkan dasar pintu terbuka dan mengalu-alukan maklum balas mengenai kekangan kawal selia yang menjejaskan pelaburan selain cadangan untuk mempercepat pelaksanaan.

Menurutnya kerajaan juga sedang berusaha mengurangkan risiko dalam usaha niaga peringkat awal dan menarik modal institusi serta swasta melalui mekanisme seperti Fasiliti Peralihan Tenaga Negara

"Kementerian menyokong struktur pembiayaan campuran, kerjasama awam-swasta dan penglibatan aktif sektor kewangan dalam membentuk projek infrastruktur hijau yang berdaya maju dari segi pembiayaan," katanya.

Beliau turut menggalakkan perkongsian data yang selamat dalam kalangan syarikat utiliti, operator sistem dan institusi penyelidikan bagi menyokong perancangan yang lebih baik, integrasi tenaga boleh baharu dan pengoptimuman aset penyimpanan tenaga.

"Peralihan tenaga Malaysia perlu mewujudkan nilai ekonomi domestik yang berkekalan melalui pembuatan tempatan, integrasi sistem, pekerjaan berkemahiran dan penyertaan lebih besar perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

-- BERNAMA