BERITA TERKINI   Konsortium Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak TNB bernilai RM568.19 juta untuk membina pencawang GIS Paka di Terengganu | Malaysia gesa kerangka kawal selia AI dalam industri kreatif, pengkarya manusia jadi keutamaan - Fahmi | Malaysia gesa harta intelek diiktiraf sebagai aset boleh diterima bank untuk pertingkat ekonomi kreatif global - Fahmi | Malaysia cadang perkukuh kerjasama antarabangsa dalam penerbitan bersama, pertukaran bakat kreatif, perkongsian data - Fahmi | Malaysia akan perkenal langkah transformasi tangani jerebu rentas sempadan tahun depan - Arthur | 

Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Tertinggi Harian, Indeks Komposit Naik 0.36 Peratus

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis, dengan indeks petunjuk pasaran meningkat 0.36 peratus susulan aktiviti pembelian saham pada harga rendah yang berterusan bagi saham wajaran tinggi terpilih, mengatasi prestasi kebanyakan pasaran serantau yang ditutup rendah, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.87 mata kepada 1,608.14 berbanding 1,602.27 semasa ditutup pada Rabu.

Ad Banner

Indeks itu yang dibuka meningkat 2.49 mata kepada 1,604.76, mencecah paras terendah harian 1,601.76 semasa awal dagangan, sebelum mendapat momentum pada sesi petang apabila ditutup pada paras tertinggi harian.

Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 681 berbanding 420 manakala 501 kaunter tidak berubah, 1,298 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.89 bilion unit bernilai RM2.69 bilion berbanding 2.76 bilion unit bernilai RM2.58 bilion pada Rabu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Penyelidikan Berjaya Research Kenneth Leong berkata pada masa akan datang, FBM KLCI dijangka berdepan aktiviti pengambilan untung yang sederhana susulan pemulihannya baru-baru ini terutama sekiranya momentum belian mula reda.

“Kalangan pelabur akan memantau data Sentimen Pengguna Michigan Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan untuk mendapatkan petunjuk baharu mengenai keyakinan pengguna, jangkaan inflasi dan kemungkinan kesannya terhadap hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS,” katanya kepada Bernama.

Leong berkata sentimen pasaran luaran dan pergerakan pasaran saham serantau juga dijangka mempengaruhi hala tuju dagangan dalam tempoh terdekat.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM9.97, CIMB meningkat satu sen kepada RM7.15, TNB melonjak 26 sen kepada RM13.24 manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.71.

Bagi saham aktif, saham RedPlanet yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat tujuh sen kepada 26 sen, MAG Holdings naik setengah sen kepada 16 sen, Zetrix AI dan JAKS masing-masing tidak berubah pada lima sen dan 17 sen manakala V.S Industry susut 1.5 sen kepada 33 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Bintulu Port, Westports dan Hengyuan Refining Company masing-masing meningkat 25 sen kepada RM5.35, RM7.02 dan RM4.05 manakala Kuala Lumpur Kepong naik 22 sen kepada RM20.30.

Saham paling rugi antaranya Nestle yang menyusut 38 sen kepada RM89.86, MI Technologi dan UMS Integrated masing-masing menurun 25 sen kepada RM6.38 dan RM7.25 manakala Allianz Malaysia berkurangan 16 sen kepada RM19.14.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 93.23 mata kepada 17,118.37, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 21.11 mata kepada 11,931.98, Indeks FBM Emas naik 8.64 mata kepada 11,964.50, Indeks FBM Top 100 menambah 15.40 mata kepada 11,769.83 manakala Indeks FBM ACE merosot 57.13 mata kepada 5,323.50.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 175.45, Indeks Tenaga naik 10.57 mata kepada 831.80, Indeks Perladangan menambah 42.56 mata kepada 8,662.68 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.68 mata kepada 18,605.0.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 1.41 bilion unit bernilai RM2.37 bilion berbanding 1.47 bilion unit bernilai RM2.29 bilion pada Rabu.

 Jumlah dagangan waran meningkat kepada 941.91 juta unit bernilai RM115.13 juta daripada 815.43 juta unit bernilai RM115.24 juta pada Rabu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 544.11 juta unit bernilai RM206.25 juta daripada 471.79 juta unit bernilai RM167.58 juta sebelum ini.

Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 205.90 juta saham di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (286.61 juta), pembinaan (148.72 juta), teknologi (304.16 juta), perkhidmatan kewangan (83.45 juta), hartanah (85.98 juta), perladangan (31.59 juta), amanah pelaburan hartanah (14.52 juta), dana tertutup (53,100), tenaga (93.07 juta), penjagaan kesihatan (60.20 juta), telekomunikasi dan media (22.93 juta), pengangkutan dan logistik (47.30 juta), utiliti (28.14 juta) serta amanah perniagaan (106,100).

-- BERNAMA