Kerajaan Sedia RM1 Bilion Kepada UJSB Untuk Penebusan Awal Sukuk Pada 2027

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) untuk tujuan penebusan awal sukuk pada 2027, sekali gus memperkukuh aliran tunai Lembaga Tabung Haji (LTH).

Kementerian Kewangan (MOF) berkata pihaknya komited untuk menyediakan peruntukan bagi penebusan awal sukuk tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

“Sebelum ini, peruntukan tidak dapat disediakan seperti yang dirancang kerana kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan untuk menangani pandemik COVID-19.

Ad Banner

“Komitmen ini diteruskan bagi menyokong UJSB memenuhi obligasinya kepada LTH, di samping memulihkan aset secara berhemat,” kata MOF menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kedudukan kewangan UJSB serta keupayaannya dalam memenuhi obligasi sukuk tanpa sokongan kewangan tambahan kerajaan.

Menurut kementerian itu, UJSB secara konsisten mencatatkan keuntungan operasi sejak 2019, termasuk RM297 juta pada tahun kewangan 2025, manakala nilai aset di bawah pengurusannya meningkat kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025 berbanding RM9.7 bilion yang disaksikan semasa 2018.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025 perlu dibezakan daripada prestasi operasinya.

Pada 2018, UJSB mengambil alih aset LTH bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion, dengan perbezaan RM10.2 bilion merupakan premium yang diberikan kepada LTH dalam membantu pemulihan kewangannya tetapi menjadi beban kerugian kepada UJSB melalui rosot nilai aset.

“Selain itu, kos keuntungan sukuk yang terakru kepada LTH turut menyumbang kepada kerugian terkumpul UJSB.

“Dengan kata lain, kos sukuk yang ditanggung UJSB merupakan pendapatan keuntungan terakru kepada LTH,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA