BERITA TERKINI   Jerebu : KLN dan NRES belum terima maklum balas penuh daripada Indonesia, Malaysia sedia beri bantuan aset jika diperlukan - Fahmi | Terma rujukan pasukan khas siasat dakwaan mafia korporat akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan – Fahmi | DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt bagi beri laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13 diadakan - Premier | Kerajaan tidak tolak kemungkinan haramkan Waze di Malaysia sekiranya mempunyai aplikasi alternatif lain - Anwar | Larangan penggunaan aplikasi Waze dilakukan kerana kerajaan tidak kompromi keselamatan rakyat dan negara - Anwar | 

MAG, CITI Umum Kemudahan Pembiayaan Perdagangan US$75 Juta Bagi Perkukuh Rantaian Bekalan

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) dan Citibank Bhd (Citi) mengumumkan kemudahan pembiayaan perdagangan berstruktur bernilai US$75 juta (US$1=RM4.07) untuk menambah baik pengurusan modal kerja, meningkatkan mudah tunai dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan bagi menyokong keperluan operasi MAG di seluruh Asia.

Citi memaklumkan kemudahan itu menghubungkan pembekal strategik di Malaysia, Singapura dan China menerusi rangka kerja pembiayaan tunggal, sekali gus menyokong usaha MAG mengoptimumkan modal kerja merentasi rangkaian pembekalnya, di samping memberikan kepastian dan fleksibiliti yang lebih besar kepada pembekal strategik yang beroperasi di pelbagai pasaran.

“Kemudahan ini dibangunkan bersama pembekal strategik di pelbagai pasaran dan menyatukan entiti yang mengambil bahagian di bawah rangka kerja pembiayaan tunggal.

Ad Banner

“Dengan memanfaatkan rangkaian global Citi, penyelesaian ini menyokong aliran pembayaran rentas sempadan yang cekap dan membantu menangani cabaran dalam menguruskan pembekal merentasi pelbagai bidang kuasa,” menurut kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataan.

Ia memaklumkan penyelesaian itu dibangunkan menerusi kerjasama berstruktur dengan pembekal strategik di China, yang memerlukan penyelarasan rapi merentasi pelbagai persekitaran kawal selia, perundangan dan operasi bagi memenuhi keperluan khusus ekosistem penerbangan rentas sempadan.

Pegawai Negara dan Ketua Perbankan Citi bagi Malaysia Vikram Singh berkata bank itu memanfaatkan rangkaian serantaunya yang kukuh serta kerjasama merentasi Malaysia, Singapura dan China untuk menyediakan penyelesaian perdagangan yang disesuaikan khusus bagi sektor penerbangan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami berbesar hati dapat menyokong MAG dengan penyelesaian yang disesuaikan khusus untuk menangani kerumitan dalam pengurusan rantaian bekalan serantaunya. Dengan memanfaatkan rangkaian serantau kami yang kukuh dan kerjasama merentasi Malaysia, Singapura dan China, perniagaan perkhidmatan kami menyediakan penyelesaian khusus yang terkemuka dalam industri untuk sektor penerbangan.

“Urus niaga ini menunjukkan bagaimana penyelesaian pembiayaan perdagangan yang inovatif dapat membantu perniagaan mengharungi persekitaran operasi rentas sempadan yang semakin kompleks, di samping mengekalkan fleksibiliti kewangan,” katanya.

Menurut Citi, urus niaga itu juga menyerlahkan peranan kerjasama rentas sempadan dan penggunaan modal yang cekap dalam menyokong rantaian bekalan berkaitan sektor penerbangan, menerusi gabungan skala operasi MAG dengan keupayaan pembiayaan perdagangan global bank itu.

-- BERNAMA