BERITA TERKINI   Istana Negara teliti inisiatif bantu remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental | Raja Permaisuri Agong zahir kebimbangan terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak, remaja | MCMC siasat kegagalan platform media sosial sekat penstriman langsung serangan di sekolah antarabangsa di Sarawak - Fahmi | LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi TuJu - Fahmi | KSN adakan mesyuarat bersama KSU beberapa kementerian, teliti isu penggunaan aplikasi navigasi - Fahmi | 

Manfaatkan Data, Analitik Bagi Tambah Baik Penyasaran Subsidi Ikut Keperluan Isi Rumah - Pakar

BANGI, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu memanfaatkan data dan analitik untuk menambah baik penyasaran subsidi berdasarkan keperluan isi rumah bagi membantu golongan yang paling memerlukan di samping mengekalkan kemampanan fiskal negara.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata penyasaran yang lebih tepat membolehkan kerajaan memenuhi keperluan berbeza bagi setiap isi rumah berbanding menggunakan pendekatan bantuan yang seragam.

“Sebagai contoh, isi rumah kurang berkemampuan yang mempunyai anak di universiti mungkin memerlukan komputer riba manakala keluarga yang mempunyai bayi memerlukan bentuk sokongan yang berbeza.

Ad Banner

“Kemajuan teknologi dan analitik data membuka ruang untuk memperbaik penyasaran, sekali gus membolehkan golongan paling memerlukan menerima bantuan lebih besar, dengan potensi mengurangkan perbelanjaan keseluruhan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel program Bicara Persada bertajuk “Belanjawan 2027: Menjaga Poket Rakyat, Mengukuh Kantung Negara” anjuran bersama MINDA-UKM dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM di sini hari ini.

Noor Azlan berkata usaha untuk meningkatkan kesejahteraan isi rumah perlu diseimbangkan dengan keperluan memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menekankan mengenai potensi sektor ketiga, termasuk koperasi, pertubuhan bukan kerajaan dan perusahaan sosial untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Organisasi berkenaan boleh melengkapi peranan kerajaan dan sektor swasta dengan mengutamakan matlamat sosial dalam menjalankan kegiatan ekonomi.

“Bagaimanapun, usaha memperluas sumbangan sektor itu memerlukan pelaburan dalam keupayaan pengurusan, kemahiran dan tadbir urus bagi memastikan organisasi terbabit dapat beroperasi dengan berkesan serta berkembang,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata koperasi, misalnya, boleh membantu ahli mendapatkan barangan pada harga lebih berpatutan selain memperluas peluang memasarkan produk mereka.

Sementara itu, Felo World Inequality Lab di Paris School of Economics, Perancis Dr Muhammed Abdul Khalid membincangkan peluang untuk meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan dengan menyalurkan lebih banyak manfaat subsidi kepada isi rumah berpendapatan rendah.

“Contohnya, penyasaran subsidi petrol yang lebih tepat kepada golongan sasar boleh menyediakan ruang kewangan untuk meningkatkan bantuan kepada golongan tersebut.

“Selain itu, ia dapat memperkukuh perkhidmatan awam termasuk dalam sektor pendidikan dan kesihatan. Pelaburan dalam sektor berkenaan penting untuk meningkatkan kesejahteraan isi rumah dan memperluas peluang bagi generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan kutipan hasil dan perbelanjaan kerajaan yang progresif bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi turut dinikmati golongan yang lebih memerlukan.

-- BERNAMA