BERITA TERKINI   Istana Negara teliti inisiatif bantu remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental | Raja Permaisuri Agong zahir kebimbangan terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak, remaja | MCMC siasat kegagalan platform media sosial sekat penstriman langsung serangan di sekolah antarabangsa di Sarawak - Fahmi | LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi TuJu - Fahmi | KSN adakan mesyuarat bersama KSU beberapa kementerian, teliti isu penggunaan aplikasi navigasi - Fahmi | 

PAAB Cadang Program Sukuk RM11.64 Bilion Sokong Pembangunan Infrastruktur Air

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) mencadangkan program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM11.64 bilion menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pengurusan Air SPV Bhd (PASB), bagi memenuhi keperluan perbelanjaan modal strategik jangka panjang dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Program itu akan menyokong pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur air negara, termasuk pembiayaan kira-kira RM1.6 bilion bagi projek yang sedang dalam pembinaan dan RM13.4 bilion bagi projek di peringkat reka bentuk serta tender, selain projek baharu yang akan dikenal pasti.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Ir. Zulkiflee Omar berkata program itu turut menyokong agenda kemampanan syarikat, selaras dengan agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040 dan Kerangka Kerja Kewangan Islam Mampan (SIFF) PAAB.

Ad Banner

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dan RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) hari ini.

PAAB telah melantik Maybank IB dan RHB IB sebagai penasihat utama bersama serta pengatur utama bersama bagi program sukuk yang dicadangkan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan PAAB Zaleha Abdul Hamid berkata program berkenaan membolehkan pihaknya mempertimbangkan struktur sukuk yang berbeza bergantung kepada keperluan projek dan keadaan pasaran, yang bertujuan untuk meluaskan pangkalan pelabur dan mengurus kos pendanaan mereka secara berhemat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada majlis menandatangani pelantikan penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama bagi cadangan program sukuk itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Zaleha PAAB melancarkan SIFF pada awal tahun ini bagi mengintegrasikan pertimbangan kemampanan dalam aktiviti pembiayaannya.

Pada Ogos 2026, syarikat itu menerbitkan Kertas Komersial Islam Biru bernilai RM720 juta bagi membiayai projek sektor air yang memenuhi kriteria kemampanan, katanya.

“Ia menunjukkan bagaimana kita boleh mengakses pasaran modal Islam untuk mendapatkan pembiayaan bagi projek-projek yang layak dan berkaitan dengan kemampanan dalam sektor air,” kata Zaleha.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB Michael Oh-Lau berkata bank itu, selaku penasihat penstrukturan kemampanan tunggal bagi SIFF PAAB, akan terus menyokong usaha syarikat memperluas akses kepada pembiayaan mampan dan biru.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB IB Kevin Davies pula berkata pelantikan itu mencerminkan komitmen bank berkenaan untuk membantu memastikan kesiapsiagaan pembiayaan PAAB bagi keperluan pelaburan masa depan.

Pada masa ini, PASB mempunyai tiga program pembiayaan: Program Kertas Komersial Islam (ICP) bernilai nominal sehingga RM2 bilion yang tamat pada Ogos 2029, Program IMTN berkadar AAA sehingga RM20 bilion yang tamat pada November 2039, serta Program IMTN yang dijamin kerajaan sehingga RM20 bilion yang tamat pada Februari 2041.

Pada 3 Ogos 2026, PASB menerbitkan Sukuk Biru bernilai RM720 juta di bawah program ICP sedia ada, yang menurut kenyataan itu merupakan penerbitan Sukuk Biru pertama dan terbesar di dunia setakat ini.

PAAB turut membuat penempatan pertama RM300 juta pada 26 Ogos 2026 di bawah program Deposit Tetap Islam-i Mampan Maybank Islamic Bhd, yang disokong oleh Kerangka Kerja Produk Mampan Kumpulan Maybank.

-- BERNAMA