BERITA TERKINI   Istana Negara teliti inisiatif bantu remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental | Raja Permaisuri Agong zahir kebimbangan terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak, remaja | MCMC siasat kegagalan platform media sosial sekat penstriman langsung serangan di sekolah antarabangsa di Sarawak - Fahmi | LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi TuJu - Fahmi | KSN adakan mesyuarat bersama KSU beberapa kementerian, teliti isu penggunaan aplikasi navigasi - Fahmi | 

Pulau Pinang Catat Pelaburan Direalisasikan RM36.62 Bilion Setakat September

GEORGE TOWN, 23 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan pelaburan direalisasikan bernilai RM36.62 bilion setakat 30 Sept, mengatasi sasaran RM22 bilion bagi 2026, menurut Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata pencapaian itu turut menyaksikan sebanyak 19,033 peluang pekerjaan diwujudkan, melebihi sasaran tahunan sebanyak 9,000 pekerjaan.

Beliau berkata prestasi itu mencerminkan keberkesanan dalam kerjasama strategik antara kerajaan Pulau Pinang, kerajaan Persekutuan, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan pemain industri bagi meningkatkan daya saing ekonomi negeri itu.

Ad Banner

“Berdasarkan prestasi semasa, kami berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pelaburan terkumpul yang direalisasikan sebanyak RM278.6 bilion menjelang 2030 di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 bagi negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Prestasi itu dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Pulau Pinang hari ini, yang turut meneliti kemajuan beberapa projek strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri itu.

Antara projek yang diketengahkan ialah Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC) yang berfungsi sebagai platform kerjasama untuk menghubungkan pemain industri, institusi penyelidikan dan pihak berkepentingan dalam bidang teknologi bagi mempercepat inovasi dan pembangunan teknologi baharu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pertumbuhan pusat itu akan disokong oleh Institut dan Pusat Penyelidikan Pembungkusan Termaju, yang menerajui usaha membangunkan keupayaan pembungkusan semikonduktor termaju bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor negara.

Mesyuarat itu juga turut meneliti kemajuan projek 'Penang Durian Valley @ Relau', yang telah mencapai 48 peratus dalam kemajuan fizikal dan dijangka siap pada suku pertama 2027.

Projek itu dijangka merancakkan sektor agropelancongan Pulau Pinang melalui penggunaan teknologi pertanian moden dan pengukuhan rantaian nilai agrimakanan.

Sementara itu, NCER kini menerajui Program Dapur Sentral di daerah Timur Laut dan Barat Daya, dengan perancangan untuk memperluas inisiatif itu ke Seberang Perai bagi membangunkan usahawan tempatan dan membantu mereka merebut peluang dalam rantaian nilai industri makanan halal di pasaran domestik dan antarabangsa.

Mohamad Haris berkata dalam hal ini NCER akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan projek-projek pembangunan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti, pembangunan bakat dan pertumbuhan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata inisiatif itu turut bertujuan memastikan pelaburan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA