BERITA TERKINI   Istana Negara teliti inisiatif bantu remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental | Raja Permaisuri Agong zahir kebimbangan terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak, remaja | MCMC siasat kegagalan platform media sosial sekat penstriman langsung serangan di sekolah antarabangsa di Sarawak - Fahmi | LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi TuJu - Fahmi | KSN adakan mesyuarat bersama KSU beberapa kementerian, teliti isu penggunaan aplikasi navigasi - Fahmi | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Susulan Kebimbangan Harga Saham Berkaitan AI

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat susulan sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap harga saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan penurunan hasil bon.

Hasil Perbendaharaan AS merosot ketara apabila pelabur beralih kepada bon kerajaan sebagai aset selamat pada Khamis.

Ad Banner

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0835/0875 berbanding dolar AS daripada 4.0815/0850 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama gandingan dolar AS-ringgit diniagakan dalam julat 4.0813 hingga 4.0865 sepanjang hari.

Beliau berkata pemain pasaran turut kekal berhati-hati sambil memantau petunjuk daripada kenyataan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan sidang media susulannya pada minggu depan, dengan pasaran menjangkakan Kadar Dana Persekutuan kekal tidak berubah pada 3.75 hingga 4.00 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4633/4687 daripada 5.4659/4706 ketika ditutup pada Khamis, mengukuh sedikit berbanding euro kepada 4.5735/5780 daripada 4.5790/5830, tetapi merosot berbanding yen Jepun kepada 2.6076/6103 daripada 2.6035/6057.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1952/1986 daripada 3.1959/1992 ketika ditutup semalam, selain mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 225.8/226.1 daripada 225.9/226.3.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.0985/1154 daripada 12.0973/1120, manakala kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.42/6.43.

-- BERNAMA