Malakoff Meterai Perjanjian Kerja Transmisi Bernilai RM34.39 Juta
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, Sungai Udang WTE Sdn Bhd, memeterai perjanjian Kerja Transmisi dan Sambungan (TIWA) bernilai RM34.39 juta dengan MMC Engineering Sdn Bhd (MMCE).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengeluar tenaga itu memaklumkan perjanjian berkenaan meliputi reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembuatan, pembekalan, pembinaan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kerja transmisi dan sambungan 33 kilovolt (kV).
“Kerja transmisi dan sambungan itu melibatkan penyambungan kemudahan sisa kepada tenaga di Sungai Udang, Melaka, kepada pencawang masuk utama Tenaga Nasional Bhd di Cheng, Melaka.
“Selepas perjanjian TIWA dimeterai, nilai agregat urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) antara Malakoff dengan MMCE dalam tempoh berkenaan melebihi nisbah satu peratus berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025,” menurut makluman itu.
Malakoff memaklumkan pelantikan MMCE di bawah RRPT itu menyokong pelaksanaan skop kerja transmisi dan sambungan projek mengikut jadual serta aktiviti penjanaan pendapatan kumpulan.
“RRPT itu dilaksanakan dalam urusan perniagaan biasa, pada asas urus niaga bebas dan berdasarkan terma komersial biasa, serta tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti Malakoff.
“RRPT itu dijangka tidak memberikan kesan buruk yang material terhadap aset bersih, perolehan sesaham atau nisbah penggearan Malakoff, selain tidak menjejaskan modal saham terbitan kumpulan atau pegangan saham pemegang saham utama,” menurut makluman itu.
-- BERNAMA