BERITA TERKINI   Anggota kabinet perlu melihat anjakan dasar utama yang diperlukan untuk mengukuhkan daya tahan negara, industri dan ekonomi – PM Anwar | Kerajaan menggalakkan syarikat tempatan merangka strategi jangka panjang bagi mengembangkan ekonomi negara tanpa meningkatkan import - Johari | Pemulihan gangguan aplikasi TuJu disasarkan selesai selewat-lewatnya pada 6 Nov - TuJu | TuJu mohon maaf kepada pengguna yang alami gangguan pada fungsi navigasi sejak beberapa hari lalu | 

Niaga Hadapan MSM Terus Meningkat Susulan Permintaan Eksport Yang Lebih Kukuh

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan kenaikan pada Jumaat disokong oleh permintaan eksport yang lebih kukuh.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran turut mendapat sokongan daripada harga tenaga yang kekal kukuh dan kenaikan niaga hadapan minyak kacang soya.

Ad Banner

“Bagaimanapun, paras inventori minyak sawit Malaysia yang tinggi terus mengehadkan kenaikan harga,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melaporkan bahawa India dijangka lebih bergantung kepada import minyak sawit bagi memenuhi keperluan minyak sayurannya dalam beberapa bulan akan datang, khususnya untuk menambah semula stok selepas sambutan Deepavali pada November.

“Aliran yang sama dijangka berlaku di China apabila bekalan kacang soya yang berkurangan dari Brazil boleh mendorong peningkatan penggunaan minyak sawit,” jelas MPOC.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 meningkat RM36 kepada RM4,587 satu tan, kontrak Disember 2026 naik RM38 kepada RM4,733 manakala kontrak Januari 2027 menambah RM26 kepada RM4,818.

Kontrak Februari 2027 bertambah RM17 kepada RM4,902 satu tan, kontrak Mac 2027 naik sedikit iaitu sebanyak RM9 kepada RM4,976 satu tan manakala kontrak April 2027 menokok RM10 kepada RM5,030 satu tan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 91,028 lot daripada 78,548 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka naik kepada 341,116 kontrak berbanding 336,766 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi November Selatan meningkat RM20 kepada RM4,550 satu tan.

-- BERNAMA