Kerajaan Galak Syarikat Tempatan Rangka Strategi Jangka Panjang, Kurangkan Import
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan syarikat tempatan merangka strategi jangka panjang bagi mengembangkan ekonomi negara tanpa meningkatkan import.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu bertujuan memastikan lebih banyak syarikat tempatan, khususnya yang berpotensi, mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara serta memainkan peranan penting dalam usaha tersebut.
Sebagai contoh, katanya, seorang pelabur mungkin mahu menghasilkan sesuatu produk yang memerlukan 10 jenis bahan atau komponen dari luar negara. Namun, jika syarikat tempatan mampu menghasilkan komponen berkenaan, import dapat dikurangkan.
“Jadi, dalam tempoh jangka panjang, ekonomi kita berkembang dan pada masa yang sama, kita dapat mengurangkan import,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di sini hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya, Johari berkata kerajaan mahu industri Malaysia beralih kepada aktiviti reka bentuk, kejuruteraan dan pengeluaran produk berteknologi tinggi serta bernilai tambah, sekali gus membolehkan syarikat tempatan menjadi pembekal yang dipercayai oleh syarikat multinasional dan peneraju industri global.
Menurut beliau kerajaan juga mahu lebih banyak syarikat tempatan membangunkan teknologi sendiri, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), membina jenama yang kukuh serta menembusi pasaran eksport.
"Kita perlu memberi tumpuan kepada aktiviti R&D untuk menghasilkan produk serta komponen yang diperlukan pelabur asing supaya dapat dibangunkan dan dikeluarkan oleh syarikat tempatan," katanya.
AKI 2026 dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri MITI Sim Tze Tzin.
Diperkenalkan sejak 1991, majlis anugerah itu merupakan platform pengiktirafan terhadap pencapaian syarikat tempatan dalam aspek daya saing, inovasi dan ketahanan perniagaan di peringkat global.
UMW Aerospace Sdn Bhd meraih Anugerah Perdana Menteri selain memenangi Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan Kategori 3.
Selain anugerah utama itu, sebanyak 14 kategori turut dipertandingkan, merangkumi sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, kategori terbuka, Anugerah Kecemerlangan Syarikat Paling Berpotensi, Anugerah Kecemerlangan Industry4WRD serta Anugerah Kecemerlangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
-- BERNAMA