Ringgit Dijangka Diniaga Dalam Jajaran Kecil Berbanding Dolar AS Menjelang Mesyuarat Fed Minggu Depan
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.07 hingga RM4.08 berbanding dolar AS minggu depan berikutan pelabur memantau keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada 27-28 Oktober.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur juga akan meneliti petunjuk mengenai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) menerusi kenyataan FOMC dan sidang akhbar susulannya, dengan pasaran menjangkakan kadar dana Fed kekal tidak berubah pada 3.75 hingga 4.00 peratus.
“Pada asasnya, penilaian Fed terhadap inflasi serta keadaan pasaran semasa berkaitan pelaburan kecerdasan buatan dan penilaian ekuiti akan menjadi elemen penting dalam membentuk keyakinan pasaran.
“Perkara yang lebih penting, sama ada terdapat sebarang perubahan mengenai pendirian dasar monetari semasa, dan prospek kadar inflasi semasa dan akan datang,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau berkata gandingan dolar AS-ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil.
Sementara itu, bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.0835/0875 daripada 4.0795/0835 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain sepanjang minggu berkenaan.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.6076/6103 daripada 2.5831/5895 pada Jumaat minggu lepas dan menurun berbanding pound Britain kepada 5.4633/4687 daripada 5.4396/4449 namun mengukuh berbanding euro kepada 4.5735/5780 daripada 4.5911/5956 pada minggu sebelumnya.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0985/1154 daripada 12.2101/2268 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 225.8/226.1 daripada 226.3/226.6 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.43 daripada 6.48/6.49.
Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1952/1986 daripada 3.1889/1922 pada akhir minggu lepas.
-- BERNAMA