Bursa Malaysia Dijangka Catat Aliran Meningkat Minggu Depan
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mencatatkan aliran meningkat minggu depan, dengan indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan dalam julat 1,600 hingga 1,620 mata didorong oleh kesediaan pelabur untuk mengambil risiko, kata penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan meningkat berikutan pelabur mengambil peluang daripada penilaian saham yang semakin menarik.
Bagaimanapun, katanya harga minyak mentah yang tinggi, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan jualan oleh pelabur asing secara berterusan boleh mewujudkan turun naik pasaran secara berkala.
“Secara keseluruhan, kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,600 hingga 1,620 mata minggu depan, dengan kecenderungan positif disokong oleh pembelian saham secara terpilih yang mempunyai asas kukuh,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dan kadar inflasi yang terkawal dijangka terus menyokong prospek pendapatan korporat.
Dalam pada itu, Thong berkata pembetulan pasaran baru-baru ini telah menjadikan penilaian saham mewah yang terpilih lebih menarik, terutamanya dalam sektor perbankan, perladangan dan utiliti.
Bagi minggu baru berakhir, bursa tempatan kebanyakannya diniagakan rendah, seiring dengan kebanyakan pasaran serantau dan prestasi Wall Street yang lemah berikutan kebimbangan mengenai kemampanan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI).
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.80 mata kepada 1,611.56 daripada 1,607.76 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 1.18 mata kepada 11,993.45, Indeks FBM Top 100 naik 10.84 mata kepada 11,797.61 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 23.70 mata kepada 11,943.57.
Indeks FBM ACE menurun 84.93 mata kepada 5,346.14 dan Indeks FBM Mid 70 merosot 55.61 mata kepada 17,170.33.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga menokok 13.67 mata kepada 834.67, Indeks Perladangan naik 44.60 mata kepada 8,677.48, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 2.61 mata kepada 175.4.
Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 97.50 mata kepada 18,654.32.
Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 14.21 bilion unit bernilai RM12.55 bilion daripada 16.41 bilion unit bernilai RM15.57 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 7.68 bilion unit bernilai RM11.15 bilion daripada 9.58 bilion unit bernilai RM13.89 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 4.15 bilion unit bernilai RM514.80 juta daripada 4.23 bilion unit bernilai RM573.41 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 2.37 bilion unit bernilai RM889.53 juta daripada 2.60 bilion unit bernilai RM1.01 bilion pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA