BERITA TERKINI   KDN serah urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah AKPS kepada KSU KDN dan KSN – Saifuddin Nasution | JPN keluarkan 275,785 MyKad generasi baharu setakat 20 Okt , Johor tertinggi sebanyak 31,392 kad - Saifuddin Nasution | Generasi tahfiz perlu kuasai, cipta teknologi masa depan - TPM Ahmad Zahid | Pendidikan tahfiz perlu lahirkan ilmuwan, pemimpin masa depan – Ahmad Zahid | Adinda Sultan Terengganu,Tengku Baderul Zaman mangkat pada 1.20 pagi tadi di Kuala Lumpur - Dato’ Pengelola Bijaya Diraja | 

EON Lancar Hab Baiki Badan, Cat Kenderaan Pertama Di Glenmarie

SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) memperkukuh perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan dengan melancar hab membaiki badan dan cat kenderaan pertamanya di Glenmarie, di sini semalam.

Berkeluasan 41,508 kaki persegi, pusat itu dilengkapi 39 petak kerja, tiga bilik bancuhan cat dan empat ruang semburan bagi memenuhi keperluan membaik pulih kenderaan pelbagai jenama di bawah EON termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik ‘smart’, selain bakal menerima Proton e.MAS pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif EON Akkbar Danial berkata pembukaan pusat itu membuktikan komitmen syarikat untuk menawarkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih menyeluruh memandangkan hubungan EON dengan pelanggan tidak berakhir sebaik sahaja kenderaan baharu dibawa keluar dari bilik pameran.

Ad Banner

“Setiap titik interaksi sepanjang tempoh pemilikan adalah peluang untuk kami memberi nilai, membina kepercayaan dan mewujudkan pengalaman yang bermakna.

“Komitmen itu direalisasikan menerusi hab tersebut yang mematuhi prosedur dan proses EON bagi memastikan perkhidmatan selepas jualan adalah berkualiti dan menyeluruh,” katanya pada sidang media mengenai pelancaran hab itu petang semalam.

Terdahulu, majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perkhidmatan Korporat DRB-HICOM Bhd Datuk Jezilee Mohamad Ramli.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Akkbar berkata hab membaiki badan dan cat kenderaan itu dilengkapi teknologi pembaikan moden dengan disokong kakitangan profesional yang terlatih.

“Pusat itu turut menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada semua syarikat insurans, sekali gus memberi akses lebih baik kepada pelanggan.

“Selain penyelesaian yang lancar untuk membaiki dan mengecat, kenderaan dikembalikan secara optimum dengan mengekalkan piawaian keselamatan, kualiti dan estetika,” katanya.

Beliau berkata pembukaan hab itu memperkukuh ekosistem selepas jualan dan menyokong janji jenama EON, iaitu 'Semangat Mendorong Kemungkinan' dengan menjadikan interaksi perkhidmatan melangkaui jangkaan pelanggan.

“EON yang berpengalaman lebih empat dekad dalam industri automotif negara sentiasa meneruskan transformasi menjadi rakan mobiliti yang lebih berorientasikan pelanggan.

“Selain menghubungkan komuniti menerusi mobiliti, kami mahu mewujudkan penyelesaian mudah dan boleh dipercayai bagi keperluan penjagaan kenderaan,” katanya.

Akkbar berkata pihaknya turut bercadang meneroka peluang untuk memperluas rangkaian hab itu di lokasi strategik di negeri lain pada masa depan.

“Langkah ini membolehkan EON memanfaatkan rangkaian sedia ada selain memperkukuh akses perkhidmatan dan memberi sokongan lebih baik kepada pelanggan merentasi portfolio automotif,” katanya.

-- BERNAMA